
KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang, Yusfarizal Yussoff menyifatkan kegagalan siasatan yang berlaku dalam kes melibatkan Muhammed Yusoff Rawther merupakan satu salah laksana keadilan.
Menurutnya, setahun yang lepas, pada pagi 6 September 2024, Yusoff ditahan polis selepas penemuan dua pucuk pistol tiruan jenis Pietro Beretta dan Smith & Wesson serta dadah jenis kanabis seberat 300.1 gram di dalam kereta Nissan Teana miliknya.
Jelasnya, semua orang sudah tahu dan pernah mendengar kisah bahawa Yusoff tidak dapat membuka pintu hadapan keretanya secara manual sebagaimana kononnya diarahkan oleh pihak polis kerana tiada lubang kunci.
“Semua orang juga sudah tahu bahawa ada jeda masa selama sembilan jam daripada jam 10.30 malam 5 September 2024 ketika Yusoff meninggalkan keretanya dan jam 7.30 pagi 6 September 2024 ketika polis tiba, untuk membolehkan sesiapa sahaja menceroboh keretanya dan meletakkan pistol tiruan dan dadah.
“Semua juga sudah mendengar bahawa pada jam 5 pagi 6 September 2024 tersebut, pihak polis telah menerima panggilan daripada seorang lelaki memberi maklumat spesifik terdapat pistol dalam kereta Teana berwarna biru gelap, nombor plat PMH 6391 diparkir di tepi Jalan Bukit Kiara 1.
“Ya, pemberi maklumat tahu kereta apa, warna apa, plat apa, diparkir secara spesifik di mana, dan ada apa di dalam kereta? Itu semua sudah kita tahu, dan kita sudah bingung sedari awal kes ini berlaku. Boleh kes sebegini berlaku di Malaysia? Bukan hanya di El Salvador, Mexico atau Colombia?” soalnya.
Yusfarizal berkata, yang ramai tidak tahu adalah kenyataan yang diberikan oleh Yusoff kepada pihak polis ketika dalam siasatan selepas amaran diberikan bahawa apa yang dikatakan boleh digunakan nanti di Mahkamah.
Terangnya, kenyataan itu adalah cerita versi Yusoff Rawther bahawa dia diperangkap oleh dua individu iaitu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan bekas Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador.
“Sepatutnya versi Yusoff Rawther ini disiasat oleh polis. Tapi polis langsung tidak melakukan apa-apa siasatan terhadap dua individu terbabit.
“Yusoff kemudian dituduh di Mahkamah dengan segala kepelikan cerita di atas dan siasatan yang tidak lengkap tersebut. Seperti diduga hampir semua orang, Yusoff dibebaskan kerana Pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
“Mahkamah Tinggi sendiri menyatakan bahawa terdapat terlalu banyak kemungkinan yang tidak dapat dijawab oleh Pendakwaan,” dedahnya yang juga Pengarah Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Negeri Selangor.
Beliau berkata, lebih mengejutkan apabila Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa pihak polis gagal melakukan siasatan fakta versi Yusoff walaupun pemuda itu telah memberikan notis yang jelas dalam percakapan beramarannya.
“Notis tentang maklumat cerita versi tertuduh tersebut dikenali pengamal undang-undang sebagai Notis Alcontara (sempena nama kes di mana Mahkamah Agung meletakkan prinsip notis tersebut dahulunya). Bukan Anaconda.
“Pengataan tertuduh dia adalah mangsa yang diperangkap oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Farhash Wafa Salvador adalah fakta versinya. Fakta versi itu mempunyai maklumat yang mencukupi untuk satu notis Alcontara.
“Maka kewajipan dan beban terletak pada pihak pendakwaan untuk menyemak sama ada fakta versi tertuduh adalah benar atau palsu. Siasatan seharusnya dijalankan oleh pihak polis kerana itu boleh memberikan keadilan pada tertuduh jika fakta versinya benar
“Manakala jika sebaliknya, nama Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Farhash Wafa Salvador dapat dibersihkan. Pihak polis mempunyai masa yang secukupnya untuk melakukan siasatan.
“Fakta versi itu selaras dengan maklumat spesifik yang diberi pemberi maklumat, namun tiada siasatan telah dilakukan SP12 dan SP13. Kegagalan mereka untuk membuat siasatan menjejaskan hak tertuduh mendapatkan perbicaraan yang adil.
“Oleh itu, satu salah laksana keadilan dilakukan terhadap tertuduh,” ujarnya memetik keputusan mahkamah.
Yusfarizal menegaskan, terdapat tiga perkara penting dalam keputusan itu iaitu Yusoff kata dia diperangkap, polis tidak lakukan siasatan, dan salah laksana keadilan dilakukan terhadap Yusoff Rawther.
“Ini bukan tuduhan ya, (tetapi) ini keputusan hakim,” jelasnya sambil berkata, versi Yusoff bahawa beliau diperangkap perlu disiasat kerana ia mempunyai asas memandangkan latar belakang panjang termasuk laporan polis dibuatnya terhadap Anwar berkaitan kes gangguan seksual.
Ia terangnya termasuk saman sivil Yusoff ke atas Anwar, laporan polis terhadap Farhash Wafa Salvador, saman sivil terhadap Setiausaha Akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, serta kes saman fitnah lain yang masih berjalan.
“Seharusnya polis melakukan siasatan terperinci kerana ia boleh membersihkan nama Yusoff Rawther, atau Anwar Ibrahim dan Farhash Wafa. Namun ia gagal dilakukan.
“Perkembangan kes pistol dan dadah Yusoff ini juga berjalan hampir serentak dengan saman sivil Yusoff ke atas Anwar. Anwar Ibrahim telah memohon untuk merujuk soalan undang-undang mengenai imuniti sementara seorang Perdana Menteri dari saman sivil.
“Ini juga ditolak oleh Mahkamah atas alasan tiada asas undang-undang untuk itu. Perbicaraan kes tersebut yang telah dijadualkan terpaksa ditangguh.
“Oleh itu timbul seribu satu pertanyaan yang tidak lagi dapat ditutup dalam kes ini, kenapa polis tidak jalankan siasatan cerita versi Yusoff bahawa beliau diperangkap, walhal ada asas motif kepada versi tersebut.
“Dan kenapa Anwar bersungguh memohon imuniti sedangkan tiada asas undang-undang? Ada banyak lagi perkara belum jelas kerana Anwar telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan untuk persoalan imuniti.
“Dan Pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi melepaskan Yusoff Rawther. Kisah ini masih panjang. Namun, inilah yang sedang berlaku dalam negara bernama Malaysia.
“Kita tidak dapat pastikan apa sebenarnya yang berlaku di belakang tabir yang terlindung, namun apa yang pasti, bau tengiknya sudah mula menusuk ke rongga-rongga hidung,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2025











