Ustaz Naim terima Anugerah Maulidur Rasul Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Kedah 1447H, pendakwah mualaf yang tidak asing lagi, Ustaz Mohd Naim Islam Abdullah, diberi pengiktirafan tertinggi apabila dianugerahkan Anugerah Khas Maulidur Rasul 2025.

- Advertisement -

​Anugerah ini adalah manifestasi penghargaan kerajaan negeri terhadap usaha gigih dan sumbangan tanpa lelah beliau dalam menyebarkan syiar Islam, khususnya dalam membimbing dan membangunkan komuniti mualaf di Kedah dan di seluruh negara.

​Dilahirkan sebagai Arumugan Thangavelu di Sungai Petani, beliau memeluk Islam pada 27 Julai 1985 dan sejak itu, beliau mendedikasikan hidupnya untuk mendalami dan menyebarkan ajaran Islam.

​Kini, Ustaz Mohd Naim bertugas sebagai Pegawai di Divisyen Pembangunan Mualaf dan Dakwah Sosial, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sejak tahun 2018, di mana beliau memainkan peranan penting dalam pengurusan dan kebajikan golongan mualaf.

​Perjalanan ilmunya bermula di Pondok Al-Hanafiah, Baling, sebelum beliau melanjutkan pengajian secara formal di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Petaling Jaya.

Tidak terhenti di situ, beliau melebarkan sayapnya hingga ke Maahad Bahasa Arab, Universiti Antarabangsa Afrika di Sudan pada tahun 1999 hingga 2000 untuk mendalami Bahasa Arab.

​Sumbangan beliau dalam bidang dakwah amatlah luas di mana memegang pelbagai jawatan penting, antaranya sebagai Timbalan Presiden Persatuan Dakwah Islamiah dan Kebajikan Saudara Baru India Se-Malaysia (Al-Hidayah) dan Ahli Jawatankuasa Haluan Fitrah Kedah.

​Beliau juga sangat aktif membuka kelas-kelas pengajian untuk saudara baru di beberapa daerah termasuk Kulim dan Bedong, selain menjadi guru takmir Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) dan pendakwah kepada komuniti di kawasan ladang.

​Keaktifan beliau sebagai pendakwah terserlah melalui pembentangan kertas kerja di pelbagai seminar dan kursus di peringkat negeri dan kebangsaan, merangkumi tajuk-tajuk berkaitan cabaran mualaf, pendekatan dakwah dan pemantapan akidah.

​Sebelum ini, Ustaz Mohd Naim pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) pada tahun 2009 dan terpilih sebagai tetamu diraja untuk menunaikan haji oleh Kerajaan Arab Saudi pada tahun 2011.

​Beliau mendirikan rumah tangga dengan Azizah Abdullah dan dikurniakan lima orang cahaya mata di mana Anugerah Khas ini mengiktiraf beliau sebagai tokoh contoh yang telah banyak berjasa dalam memartabatkan Islam di Negeri Kedah Darul Aman. – HARAKAHDAILY 8/9/2025

- Advertisement -