Memerangi najis dadah adalah jihad pengislahan ummah

- Advertisement -

PERTAPAKAN British di Tanah Melayu dengan usaha menggerakkan revolusi perindustrian dalam Abad ke-19, parallel dengan kemasukan imigran Cina. British memerlukan tenaga mahir dalam perlombongan, mereka membawa masuk tenaga kuli kasar Cina melalui sistem tiket dan sistem Kangchu. Masalah sosial di Tanah besar China turut terheret sama ke Tanah Melayu seperti penagihan candu, pelacuran, kongsi gelap dan lain-lain sisi gelap Tanah besar China. Candu dikaitkan dengan obsesi kerja namun berhujung dengan kerosakan generasi, orang Melayu juga berjangkit dengan penyakit baru masyarakat seterusnya najis dadah terus berkembang di tanah leluhur ini.

- Advertisement -

Dekad 1960-an apabila penjarahan Amerika di Vietnam turut mempopularkan dadah jenis morfin dan heroin, penggunaan dadah oleh tentera Amerika untuk melawan kesakitan. Di Malaysia, Pulau Pinang dikesan awal penggunaan dadah heroin dan morfin dalam dekad 60-an. Penggunaan najis dadah juga terkait rapat dengan budaya Woodstock dan hippies yang fenomenal pada penghujung dekad 60-an dan awal 1970-an. Ikon anak seni juga terkait dengan budaya penggunaan dadah seperti Jimmy Hendrix, Bob Marley. Lihatlah lagu-lagu popular dekad 70-an seperti ‘smoke on the water’ yang menjadi siulan anak muda yang membawa kepada normalisasi penggunaan najis dadah.

Penyalahgunaan dadah terus mekar dalam dekad 1980-an, era Battle of the band pada pertengahan dasawarsa 80-an dengan kegilaan rockmania terus mengheret anak muda ‘lalok’ dengan bahan terlarang itu. Berkembangnya dadah sintetik dengan jaringan besar hiburan diskotik yang merangsang anak muda untuk mencuba. Dadah tidak mengenal bendera parti, latar sosial, latar pendidikan, terus menjadi ancaman kepada penerusan generasi sehingga kerajaan mengisytiharkan sebagai musuh negara pada tahun 1983.

Pelbagai usaha dibuat untuk menangani masalah najis dadah di pihak kerajaan dan bukan kerajaan. Penubuhan pusat pemulihan dadah Islamik seperti cendawan tumbuh, usaha yang sama juga dilakukan oleh pihak bukan kerajaan di Indonesia dan juga Thailand. Kerajaan Terengganu dengan Darul Barokah, juga pelbagai NGO seperti PENGASIH yang mewujudkan pelbagai pusat rehabilisasi di seluruh negara. Aktiviti pencegahan serta kempen oleh PEMADAM, Darul Islah dan lain-lain pertubuhan swadaya. Usaha menggerakkan kempen dan pemulihan juga melibatkan pusat zakat negeri- negeri serta Wilayah Persekutuan.

Penyalahgunaan najis dadah juga memasuki fasa baru ‘pertempuran’. Antaranya kerajaan Kelantan bersetuju untuk menutup jeti jeti haram di sepanjang Sungai Golok. Jeti ini antara wahana yang memudahkan penyeludupan dadah terutama pil kuda, Yaba, meth dan lain-lain jenis dadah sintetik. Harga dadah sintetik juga semakin murah dan mampu milk oleh anak-anak remaja. Dengan nilai lima ringgit sebiji pil kuda, ianya mampu dibeli oleh pelajar-pelajar sekolah.

Vape juga dikenalpasti untuk merosakkan anak- anak muda, adunan dadah seperti vape ‘mushroom’ senang didapati dan sukar dikesan oleh ibubapa, penjaga, guru-guru. Kerajaan SG4 terkedepan dalam menangani isu salah guna vape ini. Kerajaan Terengganu mengambil langkah berani untuk menjaga kepentingan serta kemaslahatan rakyat terutama anak anak muda. Di kampung tradisional Melayu anak-anak muda berhimpun dengan kepulan asap vape, jelira bercerita, kadang adanya unsur kejelekan sosial dalam keseronokan. Menurut Exco kerajaan Terengganu, Dato Wan Shukairi Wan Abdullah dalam isu vape ini, pelaksanaan skop penguatkuasaan yang akan berkuat kuasa mulai pada 1 Ogos 2025 melibatkan beberapa segmen arahan dan penguatkuasaan.

Penulis melihat dengan dekat penyalahgunaan vape dikaitkan dengan dadah sintetik, ianya langkah awal anak remaja terjebak dengan penagihan dadah sejak bangku sekolah rendah. Pihak AADK sebagai entiti paling hadapan menanggani isu penagihan dadah telah mengesahkan vape menjadi wahana baharu penggunaan  dadah sintetik. Pengedar dadah juga mensasarkan penggunaan muda dadah melalui penggunaan wape.

Dato Ayub Khan, Timbalan Ketua Polis Negara telah menyarankan agar pihak kerajaan negeri mengharamkan jualan vape untuk membanteras ancaman ini. Dalam satu cuplikan Astroawani pada 17 April lalu, beliau juga melihat perlu ada keseriusan untuk menghalang penjualan vape untuk menangani isu najis dadah. Menurut AADK lagi, vape mengandungi dadah ganja sintetik berbahasa, kajian mendapati bahawa ‘magic mushrooms’ dalam cecair vape dikesan mengandungi dadah sintetik yang lebih berbahaya daripada psilosibin.

Kerajaan negeri Terengganu dan paling akhir Perlis bukanlah secara drastik mengambil tindakan mengharamkan vape, beberapa langkah awal telah diambil semenjak tahun 2018 lagi. Langkah ini bertujuan bagi menjaga kebajikan pengusaha vape, notis awal telah diuar-uarkan agar mereka berganjak kepada bentuk perniagaan lain. Impak vape ini mencapah kepada bahaya hiliran yang lain seperti penyakit sawan, berlakunya darah beku, keguguran janin, kegagalan pernafasan, gangguan kepada perut serta usus, memangkin penyakit kanser, penyebab ketagihan serta kebergantungan fisiologi. Dengan bahasa paling mudah, mudharat vape jauh mendasar berbanding kebaikan daripada hembusan vape walaupun wangian vape menebar pesona kepada anak anak muda.

Kerajaan SG4 wajib tegas menjaga anak-anak muda sebagai generasi pewaris perjuangan, melindungi akal serta keterampilan intelektual. Gejala penagihan dadah antara isu besar yang memalit contengan kepada negari jantung hati orang Melayu ini dan vape antara pemulanya . Pastikan tanah air ini bebas daripada budaya hedonism, sensate culture serta cara hidup bohemian yang meruntuhkan jati diri Muslim. Insya-Allah tanah air  kita mampu membasmi kemiskinan jika sekiranya semua warga memainkan peranan mereka. Kemapanan  Integriti juga faktor utama bagi menjayakan kempen basmi dadah, iltizam politik yang serius untuk melihat kesuksesan program membasmi dadah.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 8/9/2025

- Advertisement -