
KUALA LUMPUR: Ustaz Mohamed Sukri Omar melahirkan rasa kesal terhadap tindakan kasar pasukan keselamatan Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) terhadap bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang selepas himpunan solidariti Palestin di ibu negara.
Ketua Pemuda PAS Selangor itu berkata, tindakan menghalang tokoh dikenali sebagai Tian Chua itu dan peserta lain melalui ruangan KLCC hanya kerana memakai keffiyeh dan membawa bendera Palestin adalah sesuatu yang sangat memalukan.
“Lebih mendukacitakan, walaupun telah dijelaskan bahawa mereka sekadar ingin pulang selepas himpunan, pihak keselamatan tetap berkasar dan bertindak tidak wajar.
“Tindakan mengasari seorang tokoh yang telah berusia dan hanya memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin adalah amat memalukan, apatah lagi ia berlaku di premis milik syarikat besar yang sepatutnya menghormati kebebasan rakyat Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan.
Mengulas alasan bahawa Tian Chua membawa sebatang kayu yang dijadikan batang bendera, Mohamed Sukri menegaskan ia adalah alasan tidak masuk akal.
“Menurut saudara Tian Chua, dari awal pihak keselamatan KLCC telah melarang pemakaian keffiyeh, membawa plakad dan bendera Palestin masuk ke premis KLCC,” dedahnya.
Sehubungan itu, beliau menuntut pihak pengurusan KLCC membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Tian Chua atas insiden berkenaan.
“Kami juga mengingatkan semua pihak agar tidak tunduk kepada tekanan luar sehingga sanggup menindas rakyat sendiri yang menunjukkan solidariti kepada perjuangan Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2025











