
SANDAKAN: Pendidikan awal berteraskan Islam diyakini mampu membentuk generasi muda yang berakhlak mulia, serta mampu menjauhi pelbagai gejala sosial yang kian membimbangkan pada hari ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Hendri Hamsah berkata, melalui pendidikan yang diberikan di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), para pelajar mampu mengenal baik dan buruk, serta mengenal Tuhan mereka sejak usia kecil lagi.
“Anak-anak yang mendapat asuhan Islam sejak kecil akan menjadi lebih baik apabila meningkat remaja.
“Mereka bukan sahaja mampu menghindarkan diri daripada gejala sosial seperti buli yang semakin berleluasa pada hari ini, malah akan lebih menyantuni sahabat mereka dengan akhlak yang mulia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Alam Ria PASTI negeri di sini, kelmarin. (Foto atas)
Menurut Hendri, usaha menangani gejala sosial hanya boleh dicapai dengan kembali mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh.
“Kita kena yakin bahawa penyelesaian segala maksiat dan gejala sosial hanya boleh dicapai dengan kembali kepada kehidupan Islam yang sebenar.
“Anak-anak perlu kembali mengenal Al-Quran dan solat sebagai kewajipan untuk difahami dan diamalkan supaya lurus jalan kehidupannya,” jelasnya.
Menurutnya, pendidikan Islam merupakan benteng utama dalam mencegah anak-anak daripada terjerumus ke dalam gejala maksiat.
“Anak yang dibiasakan dengan al-Quran dan doa sejak kecil akan terbentuk akhlaknya secara semula jadi,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa kehidupan berlandaskan syariat di dalam rumah tangga mampu membentuk biah solehah (persekitaran yang baik), sekali gus membiasakan anak-anak dengan nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Tambahnya, generasi muda perlu disemai dengan kesedaran bahawa agama merupakan satu perkara yang bernilai dan wajib dipelihara sepanjang kehidupan mereka.
“Anak-anak yang membesar dalam suasana yang menghargai agama akan lebih kukuh pegangan imannya dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir negatif,” katanya lagi.
Mengakhiri ucapan, Hendri merakamkan penghargaan kepada guru-guru PASTI, ibu bapa serta semua pihak yang terlibat menjayakan Alam Ria peringkat negeri.
“Mudah-mudahan usaha murni kita dalam mendidik generasi ini akan diberkati Allah SWT dan melahirkan anak-anak soleh serta solehah yang menjadi harapan ummah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/9/2025











