
DUNGUN: Terengganu menjadi antara terawal menerima Jambatan Bailey bernilai RM4.55 juta bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), maklum Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri.
Dato’ Hanafiah Mat berkata, jambatan sepanjang 42.67 meter dengan lebar 4.2 meter itu akan ditempatkan di Depo Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu sebagai aset gantian sementara sekiranya berlaku kerosakan jalan atau jambatan akibat bencana.
“Jambatan Bailey ini membolehkan proses pemulihan jaringan jalan raya dapat dilakukan dengan lebih pantas bagi kemudahan rakyat negeri ini sekiranya berlaku bencana alam.
“Sekiranya berlaku jalan runtuh di selatan atau utara negeri ini, kita akan gunakannya sebagai pengganti sementara jalan atau jambatan yang runtuh,” katanya.
Beliau memberitahu demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Siap dan Penyerahan Aset Jambatan Bailey di Kampung Durian Mentangau, di sini kelmarin.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham; Ketua Penolong Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi Terengganu (UPEN), Mohd Saiful Anuar Mohd Noor dan Pengarah Kerja Raya Negeri, Ir Dr Hasli Ibrahim.
Menurutnya, Pasukan Jambatan Bailey Negeri yang dianggotai 35 pegawai teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) telah ditubuhkan bagi mengendalikan pemasangan, antaranya dari JKR bahagian, daerah dan cawangan.
“Memandangkan ini kali pertama pasukan seumpama ini diwujudkan, latihan pemasangan telah dijalankan pada 10 hingga 14 Ogos lalu sebagai persediaan menghadapi MTL,” ujarnya.
Selain itu, kerajaan negeri turut menerima dua projek siap dibina JKR melalui peruntukan MARRIS, iaitu jambatan baharu di Jalan Durian Mentangau, Dungun bernilai RM5.77 juta serta di Jalan FELCRA Panchor Merah, Setiu berjumlah RM4.95 juta.
“Secara keseluruhan, ketiga-tiga projek ini bernilai RM15 juta dan kini siap sepenuhnya untuk dimanfaatkan penduduk,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/2025











