
RAKYAT kini tertanya-tanya, apakah motif sebenar Nga Kor Ming apabila meletakkan syarat 30 tahun sebagai penanda aras untuk membangunkan semula flat kos rendah dan kos sederhana rendah? Sedangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) sendiri menyatakan bangunan mampu bertahan sehingga 80 tahun. Malah ada laporan mengatakan jika diselenggara baik, sesebuah flat mampu bertahan lebih 100 tahun. Apakah alasan sebenar di sebalik penanda aras 30 tahun ini?
Kenapa perlu diganggu kehidupan ribuan rakyat B40 dan M40 yang terdiri dari kaum Melayu, India, Cina dan Bumiputera sedangkan rumah mereka masih kukuh dan selamat? B40 dan M40 membuat pinjaman perumahan 35 tahun dan belum pun habis bayar pinjaman 35 tahun Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) datang dengan mengatakan 30 tahun kerajaan ada kuasa untuk masuk dan lihat bagaimana nak bangunkan semula. B40 dan M40 akan terus terbeban dengan hutang baru. Jika URA ini diluluskan maka rumah bukan lagi aset rakyat B40 dan M40 kerana setelah hutang selama 30 tahun selesai ia bakal diambil kerajaan atau pemaju untuk pembangunan semula.
Apakah alasan bahawa hanya perumahan rakyat bawahan dijadikan sasaran projek ‘pembangunan semula’? Bukankah ini menekan kehidupan rakyat yang sudah pun terbeban dengan kos sara hidup? Lebih membimbangkan langkah ini memberi isyarat seolah-olah kerajaan melihat rumah rakyat miskin sebagai aset untuk dimanipulasi bukannya keperluan asas yang harus dipelihara. Adakah kerana mereka dianggap tidak punya suara besar untuk melawan dasar songsang kerajaan?
Kenapakah perumahan rakyat marhaen dijadikan sasaran sedangkan terdapat lokasi lain yang jauh lebih wajar untuk dibangunkan semula? Mengapakah Perkampungan Baru Cina tidak dimasukkan dalam pelan pembangunan semula ini? Perkampungan Baru Cina yang diwujudkan sejak 1950 oleh penjajah British dengan status leasehold 99 tahun tidak dijadikan keutamaan pembangunan semula? Pada tahun 2025, perkampungan ini sudah berusia 75 tahun dan hanya berbaki 24 tahun sahaja lagi. 613 buah kampung baru di seluruh negara yang terdiri daripada 436 kampung baru tradisional 134 kampung penempatan semula dan 43 kampung nelayan.
Bukankah secara logiknya kawasan inilah yang wajar didahulukan pembangunannya? Setiap tahun kerajaan terpaksa menyalurkan peruntukan jutaan ringgit untuk baik pulih dan prasarana kampung-kampung ini. Malah, pada tahun 2025 sahaja kerajaan memperuntukkan RM98.5 juta untuk menampung perbelanjaan infrastruktur di kawasan tersebut. Tidakkah ini membebankan kewangan negara yang kini sentiasa berdepan defisit belanjawan?
Logiknya mudah sekiranya benar kerajaan serius mahu berjimat maka pembangunan semula Perkampungan Baru Cina sepatutnya diberi keutamaan. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan penyelenggaraan tahunan malah mewujudkan persekitaran penempatan moden yang lebih teratur dan berdaya saing. Jika benar mahu membela rakyat hentikan dasar pilih kasih. Pembangunan semula mesti bermula di tempat yang paling banyak menelan belanja Kerajaan bukannya merobek kehidupan rakyat B40 dan M40 yang sudah cukup terhimpit dengan kos sara hidup.
Ini bukan isu rasis kerana di Perumahan kos rendah dan sederhana rendah penduduknya juga berbilang kaum tetapi ini isu prihatin, keadilan, kebajikan rakyat dan pengurusan kewangan negara yang bijak. URA ini hanya menguntungkan Pemaju.
ANAS SOFFY ABD WAHID
Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 27/8/2025











