
ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi Alor Setar sebentar tadi telah membenarkan tuntutan saman fitnah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Senator Datuk Seri Panglima Saifuddin Nasution Ismail.
Saman tersebut berkaitan dengan ceramah Saifuddin dalam Program Jelajah Madani sempena Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri pada 15 Julai 2023 dahulu.
Menteri Dalam Negeri itu antara lainnya telah menuduh kononnya Menteri Besar Kedah itu bertindak mencuri unsur nadir bumi (REE) dan telah dikenakan didenda sebanyak RM500,000.
Keputusan tersebut telah dimaklum dan dikongsikan kepada media oleh peguam yang mewakili Sanusi iaitu Wan Rohimi Wan Daud dan Yusfarizal Yussoff serta Mohd Faizi Che Abu, sebentar tadi.
“Saifudin juga sewaktu Sidang Media bertarikh 14 Julai 2023 telah membuat tuduhan bahawa Sanusi kononnya telah menggunakan peruntukan dana MARRIS (Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia) berjumlah RM1.6billion.
“(Iaitu kononnya) untuk tujuan pembangunan dan bukan digunakan untuk tujuan yang sepatutnya, iaitu untuk penyelenggaraan jalan raya,” ujar mereka dari Mahkamah Tinggi Alor Setar, di sini.
Turut diperincikan mereka, Hakim Dr Johan Lee Abdullah dalam membenarkan saman fitnah itu, telah memerintahkan permohonan maaf oleh Saifuddin kepada Sanusi.
Jelas mereka, ia perlu diterbitkan dalam satu akhbar Bahasa Melayu dan satu akhbar Bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari, dengan permohonan maaf itu perlu dimuat naik di akhbar utama yang ditentukan.
“Terma permohonan maaf hendaklah diluluskan oleh MB Sanusi; Perintah Injuksi kekal; akujanji untuk tidak mengulang siar; manakala Gantirugi Am berjumlah RM600,000 dan kos sebanyak RM 70,000,” beritahu mereka. – HARAKAHDAILY 24/8/2025











