
KUALA LUMPUR: Datuk Ustaz Idris Ahmad membangkitkan persoalan terhadap dakwaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam sidang Dewan Rakyat pada 5 Ogos lalu yang disifatkan membawa tuduhan berat terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, isu yang dibincangkan adalah tuduhan oleh Perdana Menteri terhadap bekas Perdana Menteri itu dalam Parlimen, bukannya ceramah di Cherok Tok Kun.
Beliau berkata, tuduhan dibuat terhadap Muhyiddin kononnya menyokong warga asing mendapat manfaat penyelarasan subsidi adalah serius, ditambah pula dengan kenyataan sinis kepada Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rasul Wahid, pada hari sama.
“Yang Berhormat tak baca kenyataan ketua sendiri iaitu Ahli Parlimen Pagoh. Lain kali baca dulu sebelum datang Parlimen, jangan pakai ‘hentam kromo’ sahaja.
“Baca kenyataan YB Pagoh yang mempersoalkan mengapa kerajaan bebankan orang asing sedangkan orang asing juga memberi sumbangan kepada negara’” ujar Ustaz Idris memetik ungkapan Anwar dalam Parlimen tersebut.
Ustaz Idris menegaskan, Muhyiddin sudah menafikan tuduhan itu dan menyatakan kesediaan memaafkan sekiranya Anwar memohon maaf, namun Perdana Menteri tetap menunjukkan keengganan berbuat demikian.
“Tapi jawapannya lain pula. (Anwar) Cuba hendak bawa isu lain pula dengan katanya Tan Sri Muhyiddin juga perlu minta maaf, kerana banyak membuat tuduhan serta fitnah terhadap beliau. Jangan pula hendak kalih tiang gol pula,” tempelaknya.
Ustaz Idris memperingatkan Anwar, jika kenyataan itu tidak benar sebagaimana disebut dalam Parlimen, ia menyalahi Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 36(12).
“‘Mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis dan ahli boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu’” katanya memetik peraturan Dewan Rakyat itu.
Ujarnya lagi, isu sebenar hanyalah mengenai ucapan dalam Parlimen dan ia boleh dijawab dengan mudah, tetapi disulitkan oleh pemimpin PKR tersebut.
“Inilah payahnya. Yang kita bincang mengenai ucapannya di Parlimen. Mudah sahaja, bukan payah pun hendak jawab. Biarlah rakyat yang cerdik akan menilai. Jika dalam Parlimen pun boleh bercakap demikian, huh… kalau di luar dewan wallahua’lam,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/2025











