‘Apa sebenarnya yang ditakuti oleh Menteri Pendidikan?’

Gagal jawab dan tangani isu buli, wajar letak jawatan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, menggesa Menteri Pendidikan meletakkan jawatan berikutan kegagalannya menangani isu buli di sekolah yang semakin meresahkan masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya amat kecewa kerana dalam ucapan penggulungan Menteri Pendidikan di Dewan Rakyat semalam, isu buli yang menjadi kebimbangan utama rakyat tidak dijadikan agenda utama.

“Kami tidak menuntut agar Menteri mengulas kes-kes tertentu yang masih dalam perbicaraan mahkamah.

“Namun, apa yang rakyat khususnya ibu bapa mahu tahu ialah apakah tindakan menyeluruh, sistematik dan proaktif yang telah diambil Kementerian Pendidikan dalam isu ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Muhammad Faizzuddin menegaskan, pelbagai cadangan sudah dikemukakan Ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Alor Setar dan Ketua Pemuda PAS Selangor, antaranya melaksanakan audit keselamatan menyeluruh di sekolah berasrama penuh.

Ia menurutnya, termasuk pemasangan CCTV di kawasan berisiko tinggi, penyediaan SOP pengurusan aduan antara pelajar serta tindakan tegas terhadap sekolah yang menyembunyikan kes buli.

Katanya, lebih mengecewakan apabila jawapan Menteri langsung tidak menyentuh isu sebenar yang membimbangkan ibu bapa di seluruh negara yang menunggu jaminan sekolah selamat untuk anak-anak mereka.

“Apa sebenarnya yang ditakuti oleh Menteri Pendidikan? Menteri sepatutnya tampil dengan keberanian, memperincikan pelan tindakan dan memberikan jaminan serta komitmen dalam isu ini di Dewan Rakyat, namun sebaliknya berlaku,” tegasnya.

Beliau berkata, kegagalan itu menunjukkan Menteri tidak mampu menjalankan amanah terutama dalam keadaan krisis ketika ini sehingga layak digelar sebagai Menteri paling mengecewakan dalam kabinet.

“(Oleh itu), kami menyeru agar beliau berundur secara terhormat dan beri ruang kepada individu yang lebih berwibawa, berani dan mampu menangani isu pendidikan negara dengan serius,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -