
MARANG: Setahun selepas kediaman musnah dijilat api, ibu tunggal, Fatimah Abdullah, akhirnya kembali tersenyum selepas menerima rumah baharu daripada kerajaan negeri.
Rumah yang dibina di Kampung Ru Dua itu direalisasikan melalui dana Tabung Darul Iman sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap penduduk ditimpa musibah.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, meskipun sebuah rumah tidak mampu menggantikan segala kehilangan, ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ditanggung Fatimah sekeluarga.
“Inisiatif ini diharap dapat mengurangkan beban yang ditanggung serta memberi sinar baharu kepada Puan Fatimah sekeluarga,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, kelmarin.
Tambah beliau, apa yang lebih menyentuh hati, anak-anak Fatimah sendiri turut berganding bahu mengumpulkan wang untuk menambah baik kemudahan kediaman tersebut demi keselesaan ibu mereka.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha sedaya mungkin memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, khususnya mereka yang berdepan musibah tidak diduga.
“Kerajaan negeri akan terus berusaha sedaya mungkin membantu rakyat, dengan doa dan sokongan semua agar kebajikan rakyat Terengganu sentiasa terpelihara,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2025











