
PADANG BESAR: Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia Kali ke-6 (HEBAT 6.0) yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 Ogos, melabuhkan tirainya dengan penuh semangat ukhuwah di Kampung Guar Jentik, Ahad lepas.
Pengerusi Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia), Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary menyempurnakan majlis penutupan dengan menitipkan pesanan penuh makna buat para sukarelawan dan jentera parti.
Memetik pengajaran firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 32, beliau mengingatkan bahawa, “Barang siapa yang menyelamatkan satu nyawa, pahalanya umpama dia menyelamatkan nyawa seluruh manusia.”
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa menyifatkan perjalanan program kali ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.
“Uniknya PAS ialah kerana kita hadir dalam semua segmen masyarakat. Khidmat Malaysia menjadi payung besar kepada seluruh entiti kebajikan parti termasuk Jabatan Amal, Lajnah Kebajikan, Lajnah Kesihatan, dan NGO rakan kerjasama,” ujarnya.
Menurut beliau, gerak kerja Khidmat Malaysia (KM) di semua peringkat bukan sahaja menjalankan misi kebajikan, malah perlu menjadi jentera parti yang menyumbang secara signifikan kepada kemenangan dalam pilihan raya.
Beliau menegaskan strategi Khidmat Malaysia bukanlah untuk berpolitik dengan permusuhan semata-mata, sebaliknya turun ke masyarakat dengan pendekatan dakwah bil hal.
“Bila lawan politik kita memerlukan, kita mesti sedia menghulurkan bantuan. Inilah cara kita memperkukuh ukhuwah Islamiah dan dalam masa sama memberi nilai tambah kepada ‘mileage’ politik parti,” katanya.
Menyentuh pemilihan Perlis sebagai lokasi HEBAT 6.0, beliau menjelaskan ia bukan sekadar faktor teknikal, tetapi kerana negeri ini kini memasuki penggal pertama pemerintahan selepas kemenangan besar.
“Penggal pertama memang penuh cabaran luar biasa. Tekanan itu lumrah, tetapi apabila kita berjaya mengharunginya, fasa seterusnya akan lebih mudah.
“Sebab itu Perlis kita pilih, supaya kemenangan di sini dapat diperkukuhkan untuk masa hadapan. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi menjelang pilihan raya kita mesti berdamai dan bersatu.
“Jangan bergaduh sesama sendiri hingga melemahkan parti,” tegasnya sambil menekankan kunci utama kemenangan adalah kesatuan.
HEBAT 6.0 turut diwarnai dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj, yang kebetulan melalui kawasan tersebut dan singgah bertemu peserta.
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kehadiran baginda dan anakanda, memberikan makna besar dan menjadi suntikan semangat kepada semua sukarelawan.
“Tuanku bertanya tentang program ini, lalu saya memperkenalkan Khidmat Malaysia. Baginda berterima kasih kerana memilih Perlis sebagai lokasi, malah mencadangkan agar kami meninjau beberapa destinasi menarik negeri ini,” katanya penuh terharu.
HEBAT 6.0 berjaya mengumpulkan peserta dari seluruh Semenanjung dan Sabah melahirkan keceriaan yang jelas terpancar pada wajah sukarelawan serta bukan sahaja menimba ilmu, malah menjalin ukhuwah tanpa mengira latar belakang negeri.
Program yang berlangsung tiga hari itu melibatkan pelbagai modul kesiapsiagaan bencana seperti CPR, ‘water confident’, menyelam air, ikatan tali dan latihan menyelamat. – *HARAKAHDAILY 20/8/2025*











