Rakyat berhak merasa selamat di jalan raya

Ustaz Amiruddin Mohd Rosdi
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Rakyat berhak merasa selamat di jalan raya tanpa dihantui oleh ancaman pemandu mabuk, kata Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah (DUPNS), Ustaz Amiruddin Mohd Rosdi.

- Advertisement -

Justeru, katanya DUPNS memandang serius kes kemalangan maut melibatkan Allahyarham Darna Tajudin yang dilanggar pemandu mabuk di Tawau, baru-baru ini.

Menurutnya, sekarang bukan lagi masa untuk kerajaan berlembut atau sekadar beretorik.

Tambahnya, nyawa rakyat jelas menjadi taruhan akibat kelonggaran penguatkuasaan dan sikap sambalewa terhadap pemandu mabuk.

“Kami menyeru agar pihak berkuasa dan kerajaan segera mengambil langkah-langkah konkrit dan berani. Tiada kompromi lagi.

“Kami mencadangkan pihak kerajaan meningkatkan hukuman maksimum terhadap pemandu mabuk sehingga benar-benar memberi kesan jera, termasuk hukuman penjara mandatori, penggantungan lesen seumur hidup, dan denda yang lebih berat,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Menurutnya, penguatkuasaan tegas tanpa pilih kasih perlu dilaksanakan tanpa ada pengecualian atau layanan istimewa terhadap mana-mana individu, tanpa mengira status atau kedudukan.

Tambahnya, perlu dilaksanakan lebih banyak sekatan jalan raya dan ujian alkohol secara berkala, khususnya di kawasan tumpuan hiburan, jalan utama serta lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi.

“Pihak kerajaan wajar mengawal aktiviti penjualan dan waktu operasi premis yang menjual arak. Peningkatan kes pemandu mabuk mempunyai kaitan langsung dengan akses arak yang berleluasa.

“Kempen kesedaran tidak cukup hanya di atas kertas. Ia mesti digandingkan dengan tindakan keras, konsisten dan berkesan,” ujarnya.

Selain itu, katanya, mangsa dan keluarga mangsa wajar diberi pembelaan sewajarnya, termasuk pampasan yang adil dan sokongan moral daripada pihak berwajib.

Amiruddin berkata, pihak kerajaan mesti menunjukkan keberanian politik (political will) untuk menyelesaikan isu ini kerana kegagalan bertindak tegas hanya akan menyebabkan lebih ramai rakyat tidak berdosa menjadi korban di jalan raya.

“Kita tidak boleh lagi berdiam diri. Rakyat berhak merasa selamat di jalan raya tanpa dihantui oleh ancaman pemandu mabuk.

“Oleh itu, DUPNS menggesa supaya keadilan untuk arwah Darna ditegakkan dan berharap tragedi sebegini tidak lagi berulang,” katanya.

Tambahnya, ini masanya untuk bertindak bukan sekadar bercakap tanpa penyelesaian tuntas.

Terdahulu, Allahyarham Darna yang sebelum ini parah akibat dirempuh pikap dipandu lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol, meninggal dunia 17 Ogos lalu selepas tujuh hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tawau.

Difahamkan mangsa disahkan meninggal dunia selepas mengalami ‘brain death’ susulan insiden pada 10 Ogos lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.55 malam di Batu 9, Jalan Apas, mangsa bersama beberapa rakan sedang melakukan aktiviti riadah berjoging dari Bandar Sri Indah, Tawau menuju T2 Jalan Apas sebelum dirempuh. – HARAKAHDAILY 20/8/2025

- Advertisement -