RMK13: Pastikan komuniti India tidak lagi diabaikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR:  Kerajaan digesa untuk memastikan komuniti India di negara ini mendapat manfaat yang adil daripada pembangunan negara dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK 13).

- Advertisement -

Naib Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Shawn Loh Sheng Nian menegaskan, sekali gus menamatkan isu peminggiran yang telah berlarutan sekian lama terhadap kaum minoriti itu.

“Matlamat RMK13 adalah untuk memastikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, mendapat faedah daripada pembangunan negara. Penekanan khusus terhadap sokongan untuk golongan rentan amat dialukan.

“Terutamanya rakan-rakan India kita dari komuniti miskin dan kawasan luar bandar,” kata beliau yang juga Naib Ketua DHPP Negeri Melaka mengulas RMK13 bakal dilaksanakan pada 2026 hingga 2030 itu.

Beliau menegaskan bahawa RMK13 perlu menangani secara serius cabaran yang dihadapi oleh komuniti India, seperti kemiskinan, ketidakseimbangan peluang pendidikan, dan kekurangan infrastruktur.

Dr Shawn Loh turut menekankan inisiatif-inisiatif utama yang dicadangkan dalam rancangan itu antaranya melibatkan kesaksamaan pendidikan, pemberdayaan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Jelasnya, kesaksamaan pendidikan mesti dilaksanakan dengan berkesan untuk meningkatkan tahap pendidikan pelajar India, termasuk penyediaan biasiswa dan bantuan pendidikan yang mencukupi.

“Selain itu, kemudahan di sekolah-sekolah Tamil perlu diperbaiki untuk memastikan semua kanak-kanak dapat belajar dalam persekitaran yang kondusif,” ujar beliau.

Berhubung pemberdayaan ekonomi, beliau menyarankan agar disediakan pinjaman mikro, latihan perniagaan, dan program sokongan untuk usahawan India dan perusahaan kecil.

Jelas beliau yang juga Naib Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Melaka, ia agar dapat dibantu untuk berkembang, seterusnya meningkatkan status ekonomi dan keupayaan mereka untuk berdikari.

Manakala kesejahteraan sosial ujarnya, perlu diberi penekanan untuk meningkatkan kualiti hidup komuniti India dengan menyediakan bantuan perumahan, perkhidmatan kesihatan, dan projek pembangunan komuniti bagi memenuhi keperluan asas mereka.

“Kami berharap RMK13 tidak hanya kekal di atas kertas, tetapi dapat dilaksanakan dengan sebenar-benarnya untuk memastikan setiap komuniti di Malaysia mendapat peluang yang saksama, seterusnya mencapai pertumbuhan negara yang inklusif,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/8/2025

- Advertisement -