
KUALA LUMPUR: Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mendesak agar kerajaan segera melaksanakan Titah Adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak tanpa sebarang dolak-dalih.
Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang menolak rayuan Peguam Negara berhubung isu tersebut adalah bukti jelas bahawa titah berkenaan sah, berperlembagaan dan diterima dalam proses perundangan negara.
“Ini jelas menafikan alasan kerajaan selama ini bahawa pelaksanaan titah tertangguh kerana kononnya kes masih berjalan di mahkamah.
“Jika Perdana Menteri benar-benar jujur dan berpegang kepada prinsip Raja Berperlembagaan, beliau sepatutnya sudah lama mengarahkan pelaksanaan Titah Adendum.
“Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kerajaan terus berdolak dalik, memanjangkan drama perundangan dan cuba mengaburi mata rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut membangkitkan rasa kesal apabila Najib pula bakal berdepan perbicaraan ‘gag order’ yang difailkan Peguam Negara, sedangkan tarikh perbicaraan sebenar masih tidak diketahui dan menyebabkan keadilan terus tertangguh.
Tegas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, rakyat khususnya ahli dan pemimpin Umno, wajar mempersoalkan motif sebenar di sebalik kegagalan Kerajaan Madani melaksanakan titah tersebut.
“Siapa sebenarnya yang menghalang dan siapa yang berselindung di sebalik Perdana Menteri? Cukup-cukuplah mempermainkan mandat Raja. Ini bukan soal politik semata-mata.
“Ini soal kedaulatan undang-undang, kehormatan institusi diraja dan hak seorang warganegara untuk mendapat keadilan yang sewajarnya. Kerajaan Madani wajib melaksanakan Titah Adendum. Sekarang,” katanya.
Peguam Negara pada Rabu gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Titah itu dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 29 Januari tahun lalu, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – HARAKAHDAILY 15/8/2025











