Patut jadi wadah perkukuh ekonomi Bumiputera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bermula pada 2026-2030 sepatutnya dijadikan medan bagi memperkukuhkan mekanisme, pemantauan dan pengukuran prestasi ekonomi Bumiputera di negara ini.

- Advertisement -

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menyifatkan keputusan kerajaan hari ini seperti kata perpatah iaitu ‘apa yang tidak diukur, tidak diurus’, memerlukan penjelasan sewajarnya kepada rakyat.

“Saya ingin mendapat penjelasan tuntas kerajaan mengenai agenda Bumiputera dalam RMK13 ini sekali gus saya juga ingin meminta penjelasan daripada kerajaan mengenai tahap sosioekonomi Kampung Baru Cina akan diperkukuhkan.

“Ia dilaksanakan Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru Cina yang akan menyedia dana pembiayaan bagi kegiatan keusahawanan termasuk menyediakan dan menambah baik tapak penjaja,” katanya pada sesi perbahasan RMK13.

Setiausaha Agung PAS Pusat itu turut mengimbau sejarah pembangunan ekonomi Malaysia pasca tragedi berdarah 13 Mei 1969, menjadi lembaran baru dalam usaha membina negara bangsa stabil berteraskan keadilan ekonomi.

Beliau berkata, keadilan ekonomi merupakan tonggak perpaduan dan kemakmuran bersama kerajaan menetapkan dua matlamat utama menerusi melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermula pada 1971 sehingga 1990.

Menurutnya, tujuan DEB dilaksanakan bagi membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat sebelum digantikan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) 1991 sehingga 2000 dengan mengekalkan prinsip DEB.

Pembangunan Bumiputera katanya, menjadi elemen utama Dasar Wawasan Negara 2000 hingga 2020 dan Model Ekonomi Baru diperkenalkan bagi mengimbangi liberalisasi ekonomi dan agenda inklusif namun jurang kekal signifikan.

“Namun kita melihat RMK13 membawa satu nada yang agak berbeza, kita melihat berdasarkan dokumen rasmi, buat pertama kali dalam sejarah, ukuran pengurangan pendapatan antara etnik dikeluarkan senarai indikator utama.

“Indikator strategik seperti nisbah gaji penengah Bumiputera kepada kaum Cina nisbah pendapatan isi rumah dan pemilikan ekuiti individu bumiputera telah digugurkan.

“Ukuran pembangunan perusahaan Bumiputera penguasaan ekuiti melalui GLC dan juga GLIC serta sumbangan Bumiputera kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) juga tidak diberikan fokus yang sewajarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2025

- Advertisement -