
ARAU: Penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi terkini bukan lagi sekadar satu kelebihan, bahkan sudah menjadi satu keperluan bagi memastikan kemajuan diri dan masyarakat, titahRaja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Pada masa sama titah baginda, keusahawanan disifatkan sebagai salah satu tunjang utama dalam merancakkan ekonomi negeri di mana para usahawan adalah aset yang memiliki keberanian, daya inovasi serta ketahanan dalam mendepani pelbagai cabaran.
“Maka, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menyokong dan membimbing mereka agar terus maju dan berdaya saing, selaras dengan kehendak semasa dan kemajuan teknologi,” titah Tuanku.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Kampung Behor Mentalon, di sini baru-baru ini.
Berangkat sama mengiringi baginda ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Kayuhan MAIPs Peduli merupakan inisiatif kebajikan yang diterajui sendiri oleh baginda selaku Yang DiPertua MAIPs, menggabungkan aktiviti riadah berbasikal dengan usaha menyantuni masyarakat setempat secara langsung.
Melalui pendekatan turun padang dan interaksi mesra bersama rakyat, aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara MAIPs dan komuniti, malah turut memupuk nilai kasih sayang, kepedulian serta tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.
Sempena kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan zakat berupa wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah kepada para asnaf terpilih.
Antara penerima sumbangan edisi kali ini ialah Saudah Mahamud, 77, (Kampung Lahar Jambu), Intan Sharina Daud, 21, (Kampung Behor Mentalon), Rahim Bakar, 53, (Kampung Pida 3 Semut Gatal) dan Abdul Ghani Yahaya, 75, dari kampung yang sama. – HARAKAHDAILY 8/8/2025











