
KUALA LUMPUR: Shaharizukirnain Abd Kadir (PN–Setiu) membangkitkan isu ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan Sistem Tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau merujuk kepada laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mencadangkan enam tindakan penting perlu diambil oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).
Termasuk katanya, keperluan analisis kos-manfaat yang teliti memandangkan anggaran pelaksanaan MLFF mencecah RM3.46 bilion, selain menurutnya PAC turut menegaskan keperluan untuk memuktamadkan hala tuju sistem MLFF.
Jelas beliau, ia berikutan tamatnya perjanjian pelantikan pada Disember 2014, serta memperolehi kuasa perundangan mencukupi bagi menjamin kaedah perolehan terbaik dilaksanakan.
“KKR perlu meletakkan atau muktamadkan hala tuju sistem MLFF dengan segera selepas perjanjian pelantikan ‘appointment agreement’ tamat pada 16 disember 2014.
“Sejauh manakah tindakan yang telah diambil kementerian terhadap pengesyoran PAC ini?” soal beliau.
Shaharizukirnain turut menyentuh isu kesesakan teruk di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak terutama pada hujung minggu yang kerap menyaksikan pengguna terperangkap sehingga tiga jam dari Bentong ke Gombak.
Menjawab pertanyaan tersebut, Timbalan Menteri Kerja Raya menjelaskan bahawa kos RM3.46 bilion tidak lagi relevan kerana kerajaan telah memutuskan pelaksanaan MLFF dibuat secara ‘business to business’ (B2B) tanpa melibatkan sebarang perbelanjaan kerajaan.
Mengenai isu kesesakan, kementerian memaklumkan beberapa langkah telah dan sedang diambil termasuk penggunaan Smartlane, paparan nasihat masa perjalanan (GTA), sistem CCTV, serta penambahan lorong daripada empat kepada enam di kawasan Gombak.
Sebelum itu, Shaharizukirnain pada soalan asalnya meminta Menteri Kerja Raya menyatakan status pelaksanaan sistem kutipan tol MLFF menjelang tahun 2025 seperti diumumkan serta langkah penambahbaikan sistem seperti RFID bagi memastikan keberkesanan sistem baharu ini. – HARAKAHDAILY 6/8/2025











