
SHAH ALAM: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sabirin Marsono menyatakan rasa kecewa terhadap layanan dua darjat yang diterima mangsa letupan paip gas di Putra Heights dalam pemberian pampasan oleh kerajaan negeri.
Menurut beliau, wujud jurang besar dalam nilai pampasan apabila mangsa di Taman Putra Heights menerima sebanyak RM60,000, manakala mangsa di Kampung Kuala Sungai Baru hanya menerima separuh daripada jumlah tersebut.
“Sekiranya maklumat ini adalah benar, maka ia adalah satu ketidakadilan yang sangat jelas dan sudah pastinya menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mangsa, terlebih lagi apabila perkara penting begini gagal dijelaskan secara terbuka kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Lebih mengecewakan jelas beliau, hanya 13 buah rumah sahaja yang dikategorikan sebagai musnah sepenuhnya dan layak menerima pampasan untuk dibina semula, walaupun 43 buah rumah telah diisytihar musnah sepenuhnya oleh pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, desakan mangsa dan rakyat agar laporan dan hasil siasatan terhadap bencana ini disemak semula juga masih belum diberi respon yang sewajarnya oleh pihak kerajaan negeri.
“Dalam keadaan yang seperti ini sebenarnya kerajaan negeri sedang meletakkan mangsa-mangsa di Kuala Sungai Baru ini dalam keadaan tekanan emosi yang sangat tinggi, selain dari bebanan kewangan yang sedang dan akan terus menghantui mereka.
“Akibat kelemahan pengurusan mangsa. Di keadaan ini, adalah wajar sekiranya mangsa dan rakyat kini mempersoalkan akauntabiliti dan pengawasan kerajaan negeri serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
“Ke atas mangsa bencana di Kampung Kuala Sungai Baru ini. Peruntukan berjuta ringgit telah diumumkan, tetapi pelaksanaan dilihat lembab dan sangat mengecewakan mangsa. Adakah sekadar ini tahap kecaknaan Kerajaan Negeri Selangor kepada rakyatnya?” bidas beliau.
Terdahulu, insiden yang berlaku pada 1 April 2025 itu dilaporkan berpunca daripada paip gas yang patah pada sambungan kimpalan, keadaan tanah longgar dan lembut, serta pergerakan ketara paip sebelum kejadian. – *HARAKAHDAILY 6/8/2025*











