Kalau ulama yang bertelagah, tunggu kerosakan parah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Di saat umat Islam sedang tenat menghadapi pelbagai bentuk fitnah, para ulama pula dilihat masih bercakaran dalam isu-isu khilafiah.

- Advertisement -

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, keadaan menjadi semakin parah apabila masing-masing saling menyalahkan antara satu sama lain berhubung pendekatan haraki dan talaqqi.

“Bertambah parah bila saling salah menyalah, digembur isu haraki tidak talaqqi, dituduh pula yang talaqqi tidak haraki. Umat jadi bingung. Sepatutnya perkara khilafiah membawa rahmah, amal umat menjadi mudah.

“Demikian soal ilmu talaqqi dan haraki, selayaknya dua ilmu tersebut saling lengkap melengkapi, sementara ahli keduanya saling menghormati,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, para ulama seharusnya memainkan peranan sebagai pendamai dalam kalangan umat, bukan menjadi pencetus perpecahan.

“Jadilah ulama pendamai, bukan ulama pemecah belah ummah. Di luar sana, umat sedang menanti curahan ilmu serta bimbingan para ulama. Andai umat bertelagah, ulamalah pendamai. Tapi, kalau ulama yang bertelagah, tunggulah kerosakan yang parah,” tegas beliau lagi.

Ketika ini, masyarakat Islam semakin keliru dengan pertikaian terbuka antara tokoh-tokoh agama berhubung isu yang bersifat ijtihadi dan tidak melibatkan perkara asas akidah.

Ustaz Ahmad mengingatkan agar perbezaan pandangan dalam perkara khilafiah ditangani secara hikmah, bukan dengan kecaman atau tuduhan yang boleh menambah kekeliruan serta melemahkan kekuatan umat Islam.

Beliau turut menyeru agar seluruh pendakwah dan tokoh agama menjadikan ilmu dan adab sebagai asas dalam sebarang wacana ilmu, khususnya di hadapan khalayak awam. – HARAKAHDAILY 5/8/2025

- Advertisement -