Pendakwah perlu fahami realiti semasa ummah

MB menyampaikan sijil tamat pengajian kepada salah seorang peserta pengajian Tafaqquh Fiddin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pendakwah perlu memahami realiti semasa ummah dalam era teknologi dan maklumat yang bergerak pantas bagi memastikan masyarakat tidak terpengaruh dengan anasir merosakkan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pendekatan dakwah perlu disusun secara pantas, terancang dan sistematik agar selari dengan perubahan zaman serta cabaran semasa yang dihadapi oleh masyarakat.

Katanya, program-program seperti Kelas Tafaqquh Fiddin yang dianjurkan Bahagian Dakwah Halaqat bersama rakan strategiknya adalah antara usaha murni untuk mengatasi kekangan maklumat dalam kalangan pendakwah berkenaan hal ehwal semasa masyarakat.

“Maklumat hari ini sangat pantas. Baru sahaja timbul satu isu, esok timbul pula isu lain. Oleh itu, pokok kepada permasalahan ummah perlu difahami secara menyeluruh berpandukan ajaran Islam sebenar.

“Khususnya dalam berhadapan serangan pemikiran yang batil yang boleh merosakkan jati diri umat,” katanya ketika merasmikan Majlis Penganugerahan Sijil Pengajian Tafaqquh Fiddin Kali Ke-3 di sebuah hotel, di sini petang semalam.

Beliau turut menegaskan peranan besar pendakwah dan pendidik terhadap masyarakat, khususnya di Kelantan yang ditadbir berteraskan dasar “Membangun Bersama Islam”.

Tegasnya, pendakwah bertanggungjawab membantu masyarakat memahami serta menghayati Islam dengan sebenar-benarnya, agar kerajaan berteraskan Islam ini terus dipertahankan.

“Yakinlah bahawa peranan pendakwah akan diberi ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT. Sabda Nabi SAW, ‘Demi Allah, sesungguhnya Allah memberi hidayah kepada seorang lelaki melalui kamu, maka itu lebih baik daripada unta merah’,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang berjaya menamatkan sesi pengajian Kelas Tafaqquh Fiddeen serta penghargaan kepada tenaga pengajar komited memperkasa institusi Dakwah Halaqat.

Beliau turut menzahirkan ucapan syabas kepada pihak penganjur iaitu Bahagian Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) serta rakan strategik mereka.

Iaitu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Yayasan Amanah Tok Kenali serta Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia atas kejayaan menganjurkan program dengan jayanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, antara keistimewaan majlis kali ini ialah kehadiran seorang graduan berusia 77 tahun, yang membuktikan bahawa ilmu tidak mengenal usia.

“Tahniah kepada semua. Ini satu kejayaan dan keunikan yang membanggakan di negeri Kelantan Darul Naim. Kita belajar sampai kita mati. Sebelum masuk kubur, carilah ilmu yang boleh dinobatkan dalam diri dan diamalkan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, usaha menganugerahkan sijil CJPT ini telah dimulakan sejak era Tan Sri Tuan Guru Dato’ Bentara Setia, Tan Sri Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk sesi pertama.

Tambahnya, kemudian ia diteruskan pada zaman Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob pada Ogos 2023 dan kini disambung di bawah pentadbiran Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan.

“Tiga kali penganugerahan ini menjadi bukti komitmen kerajaan negeri dalam menyuburkan penghayatan kehidupan berilmu dalam kalangan rakyat Serambi Makkah,” ujarnya.

Beliau turut menyeru para graduan agar menjadikan pengajian ini bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi dikembangkan dalam keluarga, kejiranan dan masyarakat.

“Kita mahu rakyat, khususnya asatizah, pegawai dan guru menjadikan ilmu sebagai panduan hidup dan menyampaikan kefahaman Islam dengan penuh hikmah dan bertanggungjawab,” katanya lagi.

Tambah beliau, kerajaan negeri amat prihatin agar ketinggian ilmu terus dijadikan dasar kehidupan masyarakat melalui pendekatan yang inklusif dan meliputi pelbagai cabang ilmu seperti agama, sejarah, bahasa, sains, teknologi dan isu semasa.

Seramai 68 orang peserta telah menerima sijil tamat pengajian masing-masing. – HARAKAHDAILY 5/8/2025

- Advertisement -