
GEORGE TOWN: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bukan penyelamat, ia hanya perisai politik untuk menutup kegagalan Madani mentadbir negara, demikian kata Pengarah Penerangan PAS Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid.
Beliau melahirkan kebimbangan terhadap pengumuman Kerajaan Persekutuan yang bakal membelanjakan RM430 bilion bagi membiayai pelaksanaan RMK13 yang menurutnya menimbulkan persoalan besar mengenai sumber kewangan sebenar.
“Satu persoalan serius yang wajib dijawab secara telus oleh Kerajaan Persekutuan ialah dari manakah datangnya RM430 bilion ini? Adakah kerajaan benar-benar memiliki wang tunai sebanyak itu? Atau akan ditambah lagi hutang negara?” soalnya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, rakyat kini digula-gulakan dengan angka besar dan janji indah pembangunan sedangkan realitinya Kerajaan Madani berhadapan defisit fiskal yang kronik.
“Perbelanjaan melebihi pendapatan setiap tahun dan setiap suku hutang bertambah. Setiap sen yang dipinjam perlu dibayar semula oleh rakyat dan generasi akan datang,” katanya lagi.
Anas Soffy menuntut agar Kerajaan Madani memberi penjelasan jujur mengenai mekanisme perolehan dana, kaedah perbelanjaannya serta pihak yang benar-benar akan mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut.
“Madani perlu memberi penjelasan jujur bagaimana wang ini diperoleh, bagaimana ia akan dibelanja dan siapakah yang akan benar-benar menerima manfaatnya? Jelaskan dengan jujur berapa banyak tambahan hutang negara dan aset yang bakal dicagar?” ujar beliau.
Pihaknya turut membangkitkan situasi semasa kewangan negara yang menyaksikan hutang negara mencecah RM1.7 trilion dan liabiliti kerajaan melebihi RM384 bilion.
“Dalam keadaan ini, rakyat berhak bertanya, adakah RM430 bilion ini akan dibiayai melalui hutang baru? Apakah pelan pembayaran balik hutang ini? Apa kesannya terhadap rakyat apabila kerajaan terus berbelanja besar tanpa pendapatan kukuh? Adakah rakyat perlu menanggung beban hutang ini?” katanya lagi.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Kerajaan Madani bercadang menggunakan dana simpanan rakyat atau menjual aset strategik negara bagi menampung pelaksanaan RMK13.
“Adakah Dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal digunakan? Adakah aset-aset strategik negara bakal dicagar atau dijual kepada pihak luar? Adakah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperluaskan lagi ke lebih banyak barangan keperluan rakyat?” soalnya.
Beliau juga mempersoalkan pendekatan penarikan subsidi yang disifatkan sebagai tersasar dan tidak mesra rakyat.
“Adakah subsidi bakal ditarik lagi atas nama penstrukturan semula atau bersasar (hakikatnya tersasar)?” soalnya tegas.
Justeru, beliau menzahirkan kekecewaan terhadap retorik yang sering dilaungkan oleh kerajaan Madani dalam menjual RMK13 kepada rakyat.
“Rakyat dah mual dan jelak dengan retorik ‘pembangunan inklusif’, ‘ekonomi rakyat’ dan ‘Malaysia Madani’. RMK13 rancangan gergasi tetapi impaknya kerdil,” katanya.
Ujarnya lagi, jika RMK13 dibina atas hutang tanpa disiplin fiskal dan ketelusan perbelanjaan, maka ia akan menjadi satu komitmen kewangan yang membebankan kehidupan 33 juta rakyat Malaysia.
“Rakyat bukan sahaja menjadi mangsa malah dijadikan cagaran masa depan negara,” tegas beliau.
Katanya, membina infrastruktur mega tanpa pelan jangka panjang untuk mengurangkan kos sara hidup adalah pendekatan yang silap dan tidak bertanggungjawab.
“Apa gunanya bina infrastruktur mega jika tiada strategi konkrit kurangkan kos sara hidup rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat untuk menyedari realiti pentadbiran hari ini dan bangkit menolak kepalsuan yang dibungkus dengan slogan dan angka besar.
“Selamatkan Malaysia, kuburkan Madani,” tegas Anas Soffy. – HARAKAHDAILY 5/8/2025











