Sasar 60 peratus wanita dalam pasaran pekerjaan

Tanpa pelan tindakan ia hanya retorik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mempersoalkan kemampuan kerajaan mencapai sasaran 60 peratus penyertaan wanita dalam pasaran kerja menjelang tahun 2030 seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau menyifatkan sasaran itu sebagai satu langkah positif namun menegaskan ia tidak boleh menjadi sekadar retorik jika tiada pelan tindakan menyeluruh dan cabaran asas yang membelenggu wanita masih belum diselesaikan.

Antaranya tegas beliau, bagi menangani jurang gaji, beban kerja berganda serta kurangnya sokongan institusi yang selama ini mengekang penyertaan wanita dalam dunia pekerjaan.

“Ramai wanita bekerja dalam sektor tidak formal tanpa perlindungan sosial. Ramai juga menjadi mangsa jenayah. Bagaimana jaminan keselamatan mereka ketika keluar bekerja?” soalnya ketika membahaskan RMK13 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Salamiah mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian elaun bulanan kepada suri rumah sebagai bentuk pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka dalam menguruskan anak dan keluarga.

Beliau turut menekankan perlunya pelaksanaan dasar kerja fleksibel, waktu anjal serta cuti penjagaan anak yang diberikan kepada kedua-dua ibu bapa.

“Percepatkan pembinaan taska berlesen di tempat kerja dan komuniti. Kita juga mesti menyokong wanita dalam sektor tidak formal melalui latihan serta perlindungan menerusi PERKESO dan KWSP,” gesanya.

Menurut beliau, pencapaian kadar penyertaan wanita tidak boleh sekadar dinilai dari segi angka semata-mata tetapi perlu memastikan kualiti, keselamatan dan maruah pekerja wanita turut terjamin.

“Kita tidak mahu berlaku apa-apa risiko berkaitan jenayah terhadap para wanita yang keluar bekerja mencari rezeki,” ulasnya turut mengingatkan RMK13 mesti menjadi dokumen pembangunan yang mempunyai roh, bukan sekadar angka.

Salamiah menegaskan, dokumen pembangunan negara perlu mempunyai nilai dan semangat seperti roh keadilan sosial, keterjaminan makanan, pendidikan nilai dan roh ekonomi Islam.

Mengulas lanjut, beliau turut menyentuh aspek ekonomi Bumiputera yang menurutnya perlu terus diperjuangkan bagi merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan wilayah.

“(Matlamatnya bukan sekadar menaikkan angka, tetapi) Menaikkan lantai demi maruah rakyat, menjamin makanan demi kelangsungan negara, mereformasi pendidikan demi masa depan bangsa supaya rakyat lebih berakhlak serta melaksanakan ekonomi Islam demi keberkatan dan keadilan,” katanya.

Beliau menegaskan, pemerkasaan wanita perlu dijadikan agenda utama dalam membentuk keluarga dan masyarakat sejahtera, selari dengan objektif pembangunan negara secara holistik. – HARAKAHDAILY 4/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -