
KUALA LUMPUR: Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat), mempersoalkan keutamaan kerajaan dalam menyalurkan pembangunan infrastruktur pengangkutan yang dilihat lebih tertumpu kepada negeri tertentu seperti Pulau Pinang, berbanding keperluan mendesak rakyat di Pantai Timur.
Beliau merujuk kepada 13 projek di bawah Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang kosnya dilaporkan meningkat daripada RM10 bilion kepada RM16 bilion, sedangkan bandar-bandar utama di Pantai Timur seperti Kota Bharu masih belum menikmati kemudahan pengangkutan awam berskala besar.
“Kita tidak menafikan keperluan rakyat Pulau Pinang untuk sistem pengangkutan efisien, tetapi bagaimana pula dengan Kota Bharu, bandar kedua paling sesak di Malaysia selepas Pulau Pinang? Mengapa tidak mendapat layanan yang sama?
“Tiada pengangkutan awam berskala besar seperti ini tiada pembesaran jalan sistematik,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mumtaz turut meluahkan rasa kesal apabila projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) tidak diberi penekanan serius dalam RMK13 walaupun ia merupakan antara keperluan mendesak rakyat di negeri-negeri Pantai Timur.
“Adakah kerajaan mahu mencabar kami, rakyat Pantai Timur, untuk berpegangan tangan sepanjang jalan dari Gemuroh ke Tumpat sebagai tanda protes?” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan kerajaan agar tidak terus meminggirkan wilayah Pantai Timur yang telah sekian lama menyumbang kepada pembangunan negara, tetapi sering kali dilihat seperti ‘melukut di tepi gantang’.
“Adakah mahu pihak kami diam bagai melukut tepi gantang menumpang sistem negara yang tidak pernah berpihak kepada kami hampir 70 tahun?” soalnya. – HARAKAHDAILY 4/8/2025











