
KUALA LUMPUR: Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai mempunyai beberapa kecacatan yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Khususnya dalam isu jurang pendapatan, keutamaan pembangunan luar bandar dan dasar cukai yang membebankan rakyat, tegas beliau dalam perbahasan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menyuarakan kebimbangan mengenai agihan peruntukan RM417.9 bilion yang menurutnya mungkin akan mengalir tidak pada tempatnya yang sebenar.
“Saya bimbang jumlah RM417.9 bilion untuk satu tahun itu akan mengalir tidak pada tempatnya yang sebenar dan kesan dia untuk kita memulihkan negara terutamanya dalam aspek jurang perbezaan yang sangat besar,” ujarnya.
Beliau turut mengkritik kegagalan kerajaan dalam menangani jurang pendapatan antara kaum, bandar dan luar bandar, serta antara Pantai Timur dan Barat Semenanjung Malaysia.
“Jurang pendapatan di antara kaum, penduduk bandar dengan luar bandar, Pantai Timur dengan Pantai Barat, Semenanjung Malaysia, semua ini menunjukkan beberapa kecacatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” tegasnya.
Nik Zawawi turut menyentuh isu jurang pembangunan wilayah yang menurutnya hanya manis di atas kertas tetapi gagal di lapangan, tetapi akhirnya sekadar menjadi ‘sembang kosong’.
“Nak membangunkan kawasan luar bandar ini sebenarnya sentiasa disebut dalam mana-mana Rancangan Malaysia namun pengagihan angka-angka kewangan ini yang diagihkan tidak menggambarkan begitu,” ujarnya.
Beliau menyelar istilah menoktahkan kemiskinan sebagai retorik kosong yang bercanggah dengan fitrah kejadian manusia.
“Saya kadang-kadang rasa agak terkejut bila perkataan ‘menoktahkan kemiskinan’. Istilah-istilah sebegini sebenarnya dia jadi sembang kosong. Dia bercanggah dengan naluri fitrah sebenar yang Allah cipta manusia. Mana-mana negara mesti ada kemiskinan,” katanya lagi.
Katanya, konsep pembangunan tidak boleh menafikan peranan kelompok berpendapatan rendah termasuk buruh kasar.
“Kalau tidak ada faktor kemiskinan, faktor orang yang susah, nak bina Parlimen ini tak akan terbina kerana buruh kasar mesti bekerja, bangsawan dia ada peranan dia,” ujarnya.
Walaupun menyedari bahawa pertanian tidak menjana kekuatan ekonomi yang besar, beliau tetap menegaskan kepentingan sektor itu dalam konteks keselamatan makanan dan keperluan asas rakyat.
“Sebelum kita bercakap membina kekuatan ekonomi, kita kena bercakap soal makan, soal minum, soal keselamatan makanan, kesihatan dan seumpamanya,” katanya lagi.
Justeru, beliau menasihati kerajaan supaya tidak mengurangkan subsidi atau bantuan kepada sektor pertanian walaupun beralih ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
Datuk Dr Nik Zawawi turut mencadangkan agar pelabuhan Tok Bali di Pasir Puteh dijadikan hab halal terbesar negara memandangkan lokasinya yang strategik di rantau ASEAN.
“Tok Bali ini berada di kawasan yang sangat strategik daripada China, daripada Vietnam, daripada Kemboja, daripada Thailand, Tok Bali menjadi destinasi yang paling strategik,” ujarnya.
Beliau menyuarakan keresahan bahawa kerajaan mungkin akan menambah cukai atau menjual aset negara bagi menampung perbelanjaan besar RMK13.
“Saya bimbang takut-takut kerajaan melihat kepada rakyat, cukai diperkenalkan, cukai ditambah, subsidi dibuat, aset-aset strategik negara dijual,” katanya.
Tegasnya, dalam Islam sendiri, cukai berlebihan adalah haram.
“Satu barang kalau dia kenakan dua kali cukai, hukum dia haram. Hukum dia haram sebab apa? Nak jaga rakyat awam, rakyat umum yang ramai,” tambahnya.
Menyentuh soal integriti dan tatakelola, beliau mengajak kerajaan kembali kepada prinsip pentadbiran Rasulullah SAW yang membentuk masyarakat Madinah tanpa penyelewengan kuasa.
“Meletakkan pembaikan kepada hati manusia ataupun nizam terbawi yang dibawa oleh Nabi SAW. Tidak ada yang berani menuding jari menuduh ada Sahabat Nabi rasuah, salah guna kuasa, menyeleweng. Tidak ada!” tegasnya.
Beliau membidas sikap Perdana Menteri yang meminta imuniti, menganggapnya sebagai tindakan yang membuka ruang kepada salah guna kuasa.
“Saya rasa terkedu bila saya dengar Perdana Menteri minta imuniti. Minta imuniti ni seolah-olah dia mendedahkan diri dia ini supaya tidak ada orang saman, tidak ada orang ‘challenge’ (cabar) dia di mahkamah,” katanya.
Nik Zawawi turut menyentuh ketidakseimbangan gaji antara pengurus bank dengan rakyat biasa, yang menurutnya menjejaskan kestabilan sosial.
“Kalau kita lihat pengurus bank, ada yang gaji dia RM35,000, ada yang gaji sampai RM150,000 dan ada bank yang gaji dia sejuta lebih dalam masa 1 bulan, jurang perbezaan pendapatan ini sudah jadi semakin hari semakin ketara dalam negara kita,” katanya.
Beliau menyindir Ahli Parlimen Pandan yang bersikap hipokrit terhadap kerajaan sendiri.
“Kami ni kita tak minta tukar kerajaan, kita minta turun Anwar. Itu kena ada beza. Ini bukan idea aku tolak depan, sokong depan, kemudian langgar belakang, ” katanya lagi.
Beliau menyimpulkan bahawa jika sifat munafik dan penyelewengan ini terus berlaku, negara tidak akan mencapai kemajuan yang diidamkan.
“Kalau ada sifat ini, memang negara kita tak akan jadi negara maju,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 4/8/2025











