RMK13 gagal penuhi keperluan bagi pembangunan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lalu dilihat tidak mencukupi bagi menampung keperluan pembangunan negara.

- Advertisement -

Ahmad Fadhli Shaari (PN–Pasir Mas) berkata, RMK13 hanya menyaksikan penambahan peruntukan sebanyak RM15 bilion bagi tempoh lima tahun, iaitu sekitar RM3 bilion setahun, berbanding jumlah keseluruhan peruntukan RMK12 yang berjumlah RM415 bilion.

“Ini bermakna peningkatan peruntukan hanya sekitar 3.6 peratus setahun yang secara realitinya tidak memadai dengan keperluan pembangunan negara pasca pandemik, peningkatan kos sara hidup, tekanan fiskal global.

“Serta aspirasi menjadi ekonomi 30 teratas dunia menjelang 2030. Perbelanjaan infrastruktur asas pendidikan kesihatan dan kesejahteraan sosial tidak boleh dipikul dengan angka sebegini kecil,” katanya dalam Sesi Perbahasan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, angka RM611 bilion yang dikemukakan oleh Anwar merangkap Menteri Kewangan dalam pembentangan tersebut adalah mengelirukan kerana turut merangkumi perbelanjaan yang tidak pernah dimasukkan sebelum ini.

“Iaitu RM120 bilion daripada GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan), serta RM61 bilion melalui mekanisme perkongsian awam-swasta (PPP).

“Pendekatan ini menimbulkan kebimbangan dari sudut kebertanggungjawaban fiskal dan ketelusan pelaksanaan. Kita sedia maklum bahawa peruntukan melalui PPP mahupun pelaburan GLC atau GLIC tertakluk kepada keutamaan komersial entiti masing-masing.

“Bukannya menjamin keberlangsungan projek pembangunan sosial kritikal seperti hospital daerah, sekolah pedalaman atau jaringan pengangkutan luar bandar. Maka memasukkan angka-angka ini dalam jumlah besar RMK13 boleh mencipta persepsi yang tidak betul,” ujarnya.

Tegas beliau, penambahan dalam RMK13 seharusnya berbentuk peruntukan had daripada sumber kerajaan, bukannya berdasarkan anggaran perolehan luar jangka seperti dilakukan baru-baru ini.

“Rakyat mahukan kerajaan yang berani menyatakan angka sebenar dan bersedia menyediakan bajet pembangunan yang sepadan dengan cabaran dan aspirasi negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/8/2025

- Advertisement -