SATU kekalkan subsidi air B40, masjid dan surau

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Golongan berpendapatan rendah (B40) serta institusi keagamaan di Terengganu tidak terjejas dengan pelarasan tarif bekalan air yang mula berkuat kuasa 1 Ogos, susulan kerajaan negeri mengekalkan subsidi sedia ada melalui Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU).

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata, di bawah langkah itu, isi rumah B40 terus menerima subsidi 20 meter padu air sebulan, manakala penggunaan air di masjid dan surau yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) terus ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri menerusi SATU.

Menurut beliau, pengekalan subsidi tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan rakyat, khususnya golongan rentan, tidak terkesan dengan pelaksanaan pelarasan tarif air.

“Kerajaan Negeri Terengganu melalui SATU terus komited memperkukuh institusi keagamaan dan kebajikan rakyat. Subsidi sedia ada bukan sahaja diteruskan, malah ditingkatkan daripada RM2.5 juta kepada RM3 juta setahun.

“Keseluruhan kos ini ditanggung sepenuhnya oleh SATU dan Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya turut menjelaskan bahawa pelarasan tarif bekalan air itu diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Julai lalu di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi Tempoh Pelaksanaan Kedua (TP2) dan telah diwartakan pada 30 Julai.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi pengguna domestik (meter individu), tarif baharu menyaksikan kenaikan sebanyak 8 sen bagi setiap meter padu untuk penggunaan sehingga 20 meter padu, dengan caj minimum bulanan baharu ditetapkan pada RM6.60.

Katanya, pelarasan kadar juga melibatkan kategori bukan domestik seperti industri, perniagaan, dengan 75 peratus pengguna bukan domestik dijangka mengalami kenaikan purata sekitar RM1.24 sen sehari.

“Pelarasan bagi kategori ini mengambil kira kadar penggunaan yang tinggi serta keperluan infrastruktur yang lebih besar. Kadar yang diselaras mencerminkan kos sebenar operasi rawatan dan pengagihan air,” katanya.

Turut diselaraskan ialah kadar bekalan air untuk kapal berlabuh di pelabuhan yang ditetapkan pada RM8 setiap meter padu, serta kadar bagi pusat data iaitu RM5.30 setiap meter padu, yang kini diseragamkan di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, SATU turut memperuntukkan sekitar RM50 juta setahun untuk pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur bekalan air di seluruh negeri.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen SATU dalam memastikan bekalan air yang stabil, berkualiti dan mampan demi kesejahteraan rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi Negeri Terengganu secara menyeluruh.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pembinaan serta penaiktarafan Loji Rawatan Air, kerja baik pulih sistem agihan, penggantian paip lama serta pelaksanaan teknologi pintar untuk mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW).

“Pelaksanaan pelarasan ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam menangani isu berkaitan perkhidmatan bekalan air secara menyeluruh dan berterusan, demi memastikan kesejahteraan rakyat serta kelestarian sistem bekalan air di negeri Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2025

- Advertisement -