
SANDAKAN: “Tiada kompromi terhadap keganasan di asrama,” kata Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu.
Justeru, katanya Muslimat PAS negeri menggesa agar pihak berkuasa melakukan siasatan yang menyeluruh dan telus tanpa ada tekanan atau cubaan menutup kes berhubung insiden buli, yang dipercayai menyebabkan kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir di sebuah sekolah berasrama baru-baru ini.
“Kami memandang serius perkara ini kerana terdapat unsur kegagalan sistem dan kecuaian yang telah menyebabkan nyawa seorang pelajar tidak berdosa diragut di dalam asrama, dalam keadaan sekolah sepatutnya menjadi tempat perlindungan serta pusat pendidikan yang selamat.
“Sekiranya benar terdapat unsur buli dalam kes ini, pihak kerajaan khasnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu membanteras dengan lebih serius bagi menjamin keselamatan anak-anak dari aspek fizikal mahupun mental,” ujarnya kepada Harakahdaily di sini, hari ini.
Menurutnya, kes tersebut menjadi kegusaran dalam kalangan masyarakat dan dikhuatiri mengakibatkan kehilangan kepercayaan terhadap sistem keselamatan anak-anak di asrama.
Norsah turut menolak budaya normalisasi ketakutan pelajar junior terhadap senior yang selama ini dilabel sebagai ‘adat asrama’.
Tambahnya, budaya tersebut adalah satu bentuk penindasan psikologi yang wajib dihentikan dan tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pelajar, warden mahupun pentadbir sekolah yang cuai atau seolah-olah melindungi pembuli.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar dilakukan audit keselamatan menyeluruh serta sistem pelaporan kes buli yang selamat, sulit dan telus di semua pusat pendidikan khususnya di sekolah berasrama.
Selain itu, katanya, pendidikan kesedaran anti-buli dan intervensi psikososial secara berkala di peringkat sekolah perlu dilakukan bagi membantu pelajar mencapai tahap kesihatan mental serta kesejahteraan yang lebih baik, malahan meningkatkan kualiti hidup secara menyeluruh.
Tambahnya, perilaku generasi muda hari ini adalah cerminan masyarakat pada masa hadapan.
“Zara seperti anak kita. Keadilan untuk Zara adalah kewajipan semua. Kami akan terus mengangkat suara ini sehingga keadilan ditegakkan dan kebenaran tidak disembunyikan,” katanya.
Terdahulu, Zara Qairina, 13, dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada awal pagi 17 Julai lepas di Papar.
Sehingga kini, telah diwujudkan tanda pagar JusticeForZara bagi menuntut keadilan buat keluarga mangsa. – HARAKAHDAILY 28/7/2025











