
KUALA LUMPUR: Seramai 230 graduan daripada Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) menerima sijil masing-masing dalam Majlis Konvokesyen ILHAM kali ke-15 yang berlangsung di Akademi Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan ILHAM sebagai platform strategik dalam mengulamakan golongan profesional dan mengprofesionalkan para asatizah serta ulama.
“Tahniah kepada semua 230 graduan yang diraikan hari ini. Mereka datang dari pelbagai latar belakang termasuk pimpinan PAS, golongan profesional, para asatizah serta pelajar bukan Islam yang komited menuntut ilmu,” katanya.
Menurut beliau, ILHAM memainkan peranan besar dalam menjulang agenda ilmu, dakwah dan kepemimpinan yang menjadi asas perjuangan PAS sebagai sebuah gerakan Islam.
Turut hadir memeriahkan majlis, Pengarah ILHAM, Dr Asiah Ali; Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad; Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan serta Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed.
Tambah Tuan Ibrahim, PAS sentiasa komited untuk membina masyarakat berilmu dan berwibawa selaras dengan tuntutan Islam yang mementingkan pendidikan dan kepimpinan berteraskan nilai.
“Saya berharap ILHAM terus melahirkan graduan berkualiti demi membina masyarakat berwibawa dan negara yang diberkati Allah SWT,” katanya.
Lebih membanggakan, seramai 15 orang daripada DHPP turut menerima Sijil Asas Kefahaman Islam, sekali gus mencerminkan keterbukaan ILHAM dalam memperluas kefahaman Islam merentas latar belakang kaum dan agama.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran ahli keluarga graduan serta barisan kepimpinan ILHAM dan PAS.
ILHAM yang ditubuhkan pada 1994 merupakan inisiatif PAS dalam memperkasakan kefahaman Islam dalam kalangan ahli menerusi persiapan ilmu dan tarbiah sebagai bekalan menghadapi cabaran semasa. – HARAKAHDAILY 26/7/2025












