Kolaborasi seni belia lonjak potensi pelancongan Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Inisiatif lukisan mural yang menyemarakkan Lorong Keriang di Kampung Alor Melong bukan sekadar mengubah lorong suram kepada ruang meriah, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam usaha menjadikan seni belia sebagai pemangkin pelancongan negeri.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin memuji usaha kreatif tersebut yang disifatkan sebagai satu model sinergi ideal antara pihak berkuasa tempatan dan golongan muda dalam memperindah bandar raya sambil memperkukuh identiti tempatan.

“Ini adalah contoh terbaik bagaimana kreativiti pelajar dapat diperkasa melalui sokongan pihak berkuasa seperti Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS). Ia bukan sahaja mencantikkan bandar, tetapi membina semangat cintakan seni dan identiti negeri,” ujarnya kepada Harakahdaily hari ini.

Tambah beliau, projek mural sepanjang 150 meter di Lorong Keriang hasil inisiatif Eco Youth bukan sahaja berpotensi menjadi lokasi tular untuk pengunjung bergambar (OOTD), bahkan boleh dijadikan sebagai aset pelancongan sempena Tahun Melawat Kedah 2025.

“Kita tidak boleh lagi bergantung hanya kepada tarikan semula jadi atau sejarah. Tarikan moden seperti ini, yang lahir daripada kreativiti anak muda, mesti diketengahkan dan diberi platform lebih luas. Ini masa depan pelancongan negeri Kedah,” katanya lagi.

Menurut Dato’ Mohd Salleh, kerajaan negeri amat menggalakkan kolaborasi antara institusi pendidikan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam mencorakkan persekitaran yang mesra pelancong dan masyarakat.

“Saya berharap usaha ini tidak terhenti di Alor Setar sahaja. Daerah-daerah lain juga wajar tampil dengan pendekatan kreatif berasaskan seni dan budaya tempatan,” tambahnya.

Projek Eco Youth ini digerakkan oleh empat pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), melibatkan lebih 22 sekolah serta institusi pendidikan tinggi seperti Albukhary International University (AIU) dan Institut Pendidikan Guru (IPG), dengan tajaan penuh dari syarikat Nippon Paint.

Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya menyatakan sokongan penuh pihak MBAS terhadap usaha pendidikan kelestarian alam sekitar ini dan menyifatkan projek tersebut sebagai platform yang membentuk sahsiah generasi muda yang prihatin.

Turut hadir dalam program lawatan ke lokasi mural kelmarin ialah ADUN Derga, Muhammad Amri Wahab dan para pengetua sekolah, pegawai MBAS dan SWCorp, serta pelajar dan guru-guru yang terlibat.

Lorong Keriang dijangka menjadi antara destinasi pelancongan baharu yang menyemarakkan kempen ‘Mai Singgah Alor Setar Lagi’ dan memperkasa pengisian Tahun Melawat Kedah 2025. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -