Takrif sisa pepejal perlu diperhalusi, elak tambah beban

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu kebersihan dan pengurusan sisa pepejal memerlukan perhatian serius meskipun negara menunjukkan peningkatan dalam aspek tersebut, kata Dato’ Azman Nasrudin (PN–Padang Serai) di Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, Rang Undang-Undang (RUU) Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 berkaitan pengurusan sisa pepejal dibentangkan mengandungi beberapa kelemahan ketara yang wajar diteliti dan diperbaiki sebelum diluluskan.

“Isu ini bukan baharu, tapi masih banyak kelemahan yang perlu diperhalusi, termasuk dari segi takrif sisa pepejal itu sendiri,” ujarnya turut mempersoalkan pindaan kepada Seksyen 2 Akta 672 itu.

Khususnya memotong frasa ‘kerana sudah pecah, lusuh, tercemar atau selainnya rosak’ daripada takrif sisa pepejal, kerana ia berpotensi menyebabkan bahan yang masih boleh digunakan seperti perabot lama diklasifikasi sebagai sisa.

“Ini boleh meningkatkan beban pengurusan sisa sebanyak 38,000 tan sehari, berdasarkan laporan SWCorp 2022,” katanya.

Azman turut membangkitkan isu ketidaksediaan infrastruktur untuk pelaksanaan larangan pembuangan sisa di tempat awam seperti termaktub dalam Seksyen 77A RUU tersebut.

“Hanya 30 peratus kawasan awam di Malaysia memiliki tong sampah mencukupi, menurut laporan KPKT 2024,” jelasnya.

Beliau juga menyuarakan bahawa RUU ini turut berpotensi membebankan peniaga kecil khususnya di pasar malam di mana lazimnya tiada akses kepada kemudahan pengurusan sisa yang baik.

“Denda RM2,000 hingga RM10,000 ini akan membebankan golongan ini, sedangkan 72 peratus daripada mereka masih bergantung kepada pembuangan sisa di tempat awam,” katanya memetik kajian KPDNHEP 2024.

Dalam pada itu, Azman mencadangkan agar takrif sisa pepejal dipinda dengan merujuk Akta 127 bagi mengelakkan tafsiran terlalu luas, selain mewajibkan infrastruktur seperti tong sampah setiap 50 meter di kawasan bandar mengikut standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Turut dicadangkan ialah garis panduan nasional pelaksanaan khidmat masyarakat, peruntukan khas berbentuk pendidikan untuk pesalah kanak-kanak serta sistem aduan dan perlindungan identiti mereka.

“RUU ini adalah satu langkah baik, tetapi perlu ditambah baik demi keberkesanan pelaksanaannya,” katanya mengakhiri perbahasan. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -