PBT perlu perkukuh kemudahan asas, kebersihan awam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) menggesa kerajaan memperkukuh peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan kebersihan tempat awam serta penyediaan kemudahan asas yang lebih menyeluruh kepada peniaga, khususnya perniagaan kecil.

- Advertisement -

Beliau berkata, pindaan terhadap subseksyen 73(1A)(ii) Akta Kerajaan Tempatan menerusi Rang Undang-Undang Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 berkait rapat dengan usaha memelihara kawasan awam agar sentiasa bersih dan bebas daripada kekotoran termasuk sampah sarap, bangkai binatang dan air simbahan.

“Pihak PBT memainkan peranan penting dalam menyokong ekosistem perniagaan, khususnya bagi perniagaan kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan dengan menyediakan kemudahan.

“Seperti tapak perniagaan strategik, lesen mudah diakses serta infrastruktur asas seperti tandas awam dan tong sampah bertujuan untuk memastikan persekitaran perniagaan yang bersih, teratur dan selamat.

“Usaha ini bukan sahaja membantu peniaga kecil berkembang tetapi juga menyokong pencegahan isu kebersihan dan kesihatan awam sejajar dengan dasar kebersihan negara yang diperkenalkan pada 2019.

“Persoalan yang ingin saya bangkitkan di sini ialah pertama sejauh manakah usaha kerajaan dalam menyediakan kemudahan yang saksama kepada peniaga termasuk tapak strategi untuk perniagaan?

“(Juga) lesen yang mudah diakses serta infrastruktur seperti tandas awam dan tong sampah untuk menyokong pencegahan isu kebersihan dan kesihatan awam,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga minta kerajaan memperincikan langkah-langkah konkrit yang telah atau akan diambil oleh PBT dalam memastikan kemudahan itu tidak menjejaskan prestasi perniagaan, sebaliknya menyumbang kepada persekitaran perniagaan lebih bersih dan teratur.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap tahap kebersihan di medan selera di bawah seliaan PBT yang disifatkan tidak memuaskan.

“Tandas yang kotor, tidak dicuci, tiada bekalan air atau berkunci menyulitkan pengunjung. Ini menyukarkan pengunjung ke medan-medan selera di bawah PBT.

“Isu ini sering berlaku di medan-medan selera di bawah PBT seluruh negara dan isu tersebut tak pernah selesai.

“Apakah langkah segera untuk menangani isu kebersihan dan kemudahan tandas di medan selera tersebut?” soalnya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -