Hukum ‘khidmat masyarakat’ beri peluang pemulihan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) menyifatkan kesan pindaan Seksyen 104A Rang Undang-undang (RUU) Kerajaan Tempatan boleh mendatangkan beberapa kesan positif.

Menurut beliau, pendekatan lebih manusiawi perlu diberi perhatian kerana tidak semua kesalahan patut dihukum dengan wang atau penjara, sebaliknya ia memberikan ruang dan peluang untuk pemulihan dan penginsafan.

“Penjimatan kos juga dapat dicapai apabila kerajaan dapat mengurangkan kos dalam mengurus tahanan atau proses perundangan yang panjang,” ujarnya.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan RUU Kerajaan Tempatan pindaan 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Tambah beliau, manfaat kepada masyarakat juga dapat dirasai apabila tenaga kerja sukarela daripada pesalah boleh menyumbang kepada kerja-kerja kemasyarakatan seperti kebersihan dan penyelenggaraan.

“Ini juga menggalakkan tanggungjawab sosial apabila pesalah lebih memahami kesan perbuatan mereka dan insaf apabila diminta memberi khidmat kepada komuniti yang terjejas seperti mencuci tembok, mencuci longkang, membersihkan tempat awam,” jelasnya.

Namun begitu, katanya, beliau memohon penjelasan bagaimana persiapan menghadapi beberapa cabaran dan halangan.

“Pertama, risiko pelaksanaan tidak konsisten. Yang kedua, bagaimana pengawasan dan pemantauan. Yang ketiga, sejauh manakah kekangan sumber dan penguatkuasaan dapat diselesaikan,” soalnya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung kekurangan tenaga dan pekerja, apabila PBT tiada pegawai khas untuk menyelia perlaksanaan khidmat masyarakat, selain beban tambahan kepada kakitangan sedia ada seperti penguatkuasaan dan jabatan kebersihan.

Katanya, implikasi undang-undang juga menjadikan khidmat masyarakat satu bentuk hukuman yang sah dan serius setaraf dengan denda atau penjara selaras dengan Seksyen 104A(9).

Salamiah turut menyentuh pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat kepada kanak-kanak yang menurutnya mesti mesra kanak-kanak dan tidak boleh menjatuhkan hukuman sama seperti orang dewasa.

“Pengawasan wajib, khidmat masyarakat mesti dilaksanakan di bawah pengawasan ibu bapa, penjaga atau pegawai pemulihan yang dilantik.

“Ketiga, perintah mesti sesuai umur dan keselamatan kerja-kerja yang diberikan tidak boleh membahayakan atau memalukan kanak-kanak.

“Keempat, pendekatan pemulihan dan kesedaran. Matlamat utama ialah mendidik bukan menghukum contohnya melalui kempen kesedaran atau aktiviti komuniti,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -
- Advertisement -