
KUALA LUMPUR: Dr Halimah Ali (PN-Kapar) membangkitkan isu kritikal berkaitan pengurusan sisa pepejal dan pencemaran alam sekitar ketika membahaskan Rang Undang-Undang bagi meminda Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan pembuangan haram sisa pepejal dan bahan toksik ke dalam saluran air, termasuk sungai dan parit, yang dilihat menjadi tempat pelupusan sampah tidak rasmi sejak sekian lama.
“Contohnya, Sungai Klang yang menjadi nadi pembangunan di Lembah Klang, turut menjadi tempat pembuangan sisa. Malah, pada 18 Jun 2025, Sungai Kapar Kecil menjadi biru akibat pencemaran daripada kilang kitar semula plastik dan stor lateks,” tegasnya.
Menurut laporan media ketika itu, kejadian luar biasa tersebut dipercayai berpunca daripada dua premis industri yang menyebabkan air sungai berubah warna akibat pelepasan sisa tidak terkawal.
Dr Halimah menuntut agar kementerian dan pihak berkuasa berkaitan melaksanakan pendekatan menyeluruh dan efektif, khususnya dalam mengenal pasti kilang-kilang berisiko tinggi yang mencemarkan alam sekitar.
“Kapar ialah zon industri yang besar. Kita alu-alukan aktiviti perniagaan, tapi bukan dengan mengorbankan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menyenaraikan beberapa kawasan di Kapar yang sering menjadi ‘hotspot’ pembuangan haram seperti Meru, Bukit Kapar, Kampung Rantau Panjang, Taman Kapar Perdana dan Kampung Sungai Udang.
Justeru, beliau meminta data lengkap mengenai kawasan pembuangan haram daripada SWCorp dan pihak berkuasa tempatan (PBT), serta memperjelaskan agensi penguat kuasa utama dalam isu ini sama ada polis, PBT atau SWCorp.
Dr Halimah turut menyarankan agar kerajaan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kutipan sisa pepejal yang cekap sebelum mengambil pendekatan menghukum rakyat, di samping memperkenalkan insentif kepada komuniti aktif menguruskan sisa.
“Komuniti Rukun Tetangga (KRT) yang menunjukkan prestasi baik patut diberi pengiktirafan atau insentif khas seperti diskaun cukai pintu atau dana pengurusan,” cadangnya.
Ujarnya lagi, walaupun undang-undang ini penting, kejayaannya sangat bergantung kepada aspek penguatkuasaan, pendidikan dan penglibatan komuniti.
“Rakyat Kapar sudah letih dengan longgokan sampah, pencemaran bau dan kelemahan sistem kutipan. Kami tidak mahu janji atas kertas. Kami mahu penyelesaian konkrit,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 21/7/2025











