
KUALA LUMPUR: Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) menggesa kerajaan memperhebat kempen kesedaran dan pendidikan awam mengenai kitar semula, susulan kadar kitar semula negara masih rendah berbanding sasaran.
Beliau berkata, statistik Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara menunjukkan kadar kitar semula yang direkodkan ketika ini hanyalah 31.52 peratus, jauh daripada sasaran 40 peratus menjelang 2025.
“Malah angka ini masih rendah jika dibandingkan dengan negara maju yang mencatatkan purata kadar kitar semula sekitar 60 peratus,” ujarnya.
Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Rang Undang-undang Pengurusan Sisa Pepejal pindaan 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam membicarakan soal pindaan undang-undang yang berunsur hukuman, aspek pendidikan dan kesedaran masyarakat tidak boleh diabaikan.
“Saya mencadangkan agar kerajaan meningkatkan usaha kempen kesedaran kitar semula merentasi pelbagai sektor, sama ada awam mahupun swasta.
“Usaha ini juga perlu digerakkan di semua peringkat, termasuk taman perumahan, JKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung), institusi pengajian tinggi, malah hingga ke peringkat sekolah,” cadangnya.
Wan Razali turut mencadangkan agar jumlah tong sampah kitar semula ditambah, khususnya di kawasan tumpuan awam bagi membudayakan amalan itu dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, beliau mencadangkan agar kerajaan memperbanyakkan penubuhan Pusat Sehenti Kitar Semula (Recycle One Stop Center) bagi memudahkan orang ramai menghantar barang-barang terpakai. – HARAKAHDAILY 21/7/2025











