
KOTA BHARU: Kelantan dijangka menyumbang 46 peratus Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada infrastruktur grid kuasa negara untuk pastikan peralihan tenaga berjalan lancar dan sasaran Sifar Bersih menjelang 2050 tercapai.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, sehingga hari ini sebanyak 31 peratus TBB dihasilkan menerusi beberapa projek dilaksanakan skala kecil.
Beliau berkata, dua projek mega yang dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Nenggiri Gua Musang dan projek ‘Large Scale Solar 5’ (LSS5) di Pasir Mas di bawah Samaiden Group Berhad, merancakkan agenda itu.
“Pada 2025, dianggarkan sekitar 31 peratus daripada permintaan tenaga elektrik negeri dijana oleh TNB, namun dengan penyempurnaan beberapa projek peratus ini djangka terus meningkat 45 peratus menjelang 2027.
“Kita ada projek Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, LSS5 dan rangkaian ‘Small Hidro Plan’ (SHP), kita sedang berada pada landasan kukuh dan memperkukuhkan keupayaan negeri dalam memacu pertumbuhan TBB,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nik Bahrum Nik Abdullah (PN-Chempaka) pada persidangan Dewan Negeri Kelantan Ke 15 bagi Penggal Ketiga di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Nik Baharum meminta penjelasan kerajaan negeri mengenai jenis tenaga hijau utama yang sedang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan berapa peratusan penggunaan dalam keseluruhan tenaga di negeri tersebut.
Wan Roslan (PN-Pengkalan Kubor) berkata dari segi penggunaan tenaga, meskipun lebih 95 peratus kapasiti penjanaan tenaga di Kelantan disumbangkan TBB, namun kadar penyerapan ke grid kuasa nasional masih rendah.
Beliau berkata, situasi itu berlaku kerana kekangan rangkaian sambungan yang terhad dan masalah itu dijangka selesai apabila projek Hidroelektrik Nenggiri Gua Musang dekat sini beroperasi sepenuhnya pada 2027.
Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang giat melaksanakan pembangunan sektor TBB sebagai salah satu komponen penting dalam agenda kelestarian dan pembangunan mampan diberikan kepada solar dan juga hidro.
“Kedua-dua sumber tenaga ini membuktikan komitmen kita dalam menyokong dasar tenaga lestari sejajar matlamat negara untuk mempertingkatkan penggunaan TBB, banyak projek utama sedang dan telah dilaksanakan di Kelantan.
“Antaranya projek Hidro Pergau telah mula beroperasi sejak 2003, (menjana) 600 megawatt menjadikannya sebagai kemudahan terbesar di Malaysia, selain itu projek hidro kecil Sungai Kenerong, Danau Tok Uban,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025











