RUU jika longgar berpotensi wujud ‘Ah Long Berlesen’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna 2025 perlu diperkemaskan bagi memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah di luar bandar, tidak terus terdedah kepada penindasan kewangan, kata Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik).

- Advertisement -

Beliau menyambut baik penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) yang dicadangkan, namun mengingatkan bahawa beberapa peruntukan dalam rang undang-undang tersebut masih longgar dan berpotensi mewujudkan ‘Ah Long Berlesen’.

“Langkah mewujudkan SKP ini sangat dialu-alukan, tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa masih wujud kebimbangan tentang ruang penindasan melalui kadar faedah tinggi dan perjanjian berat sebelah, yang akhirnya menekan rakyat,” katanya.

Beliau memetik statistik Bank Negara Malaysia yang menunjukkan nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 81.9 peratus pada akhir 2024.

Katanya, itu antara tertinggi di Asia manakala laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan 30 peratus isi rumah B40 berdepan kesukaran membayar hutang, dan hampir 60 peratus rakyat tidak mempunyai simpanan kecemasan.

“Sebagai contoh di Kedah sendiri, dalam laporan oleh sebuah akhbar melaporkan pada Mac 2024 bahawa seorang petani di daerah Baling, hilang tanah pusaka setelah gagal membayar pinjaman RM 5,000 yang dikenakan bunga harian oleh ‘Ah Long’.

“Beliau menandatangani pinjaman melalui borang dalam talian tanpa memahami syarat yang berat sebelah,” terang Ahmad Tarmizi.

Beliau turut melontarkan beberapa kritikan dan cadangan penting menambah baik RUU berkenaan antaranya, Fasal 42 hingga 44, ‘Penetapan Siling Kadar Faedah’ yang mana sebelum ini tiada had maksimum kadar faedah atau keuntungan jelas ditetapkan dalam RUU ini.

“Berbeza dengan amalan di negara luar seperti United Kingdom, Financial Conduct Authority (FCA) meletakkan kadar faedah tahunan (APR) maksimum bagi ‘payday loan’, ialah 100 peratus iaitu APR termasuk semua cas.

“Di Korea Selatan kadar faedah maksimum pinjaman pengguna ditetapkan pada 20 peratus setahun yang berkuatkuasa tahun 2021. Tanpa kadar siling yang ditentukan dalam undang-undang ini, pemberi kredit boleh meletakkan kadar yang tidak munasabah.

“Lebih-lebih lagi kepada golongan pengguna kredit yang miskin ini, yang dilaporkan oleh media mencecah 600 peratus faedah yang dikenakan,” tegas beliau.

Tarmizi mencadangkan penambahbaikan kontrak pinjaman yang lebih mesra pengguna agar semua perjanjian kredit disediakan dalam bahasa mudah dan ringkas.

Termasuk cadangnya, versi dalam bahasa ibunda seperti Bahasa Melayu dan Tamil bagi mengelakkan peminjam menandatangani perjanjian tanpa memahami terma.

“Wajibkan ringkasan maklumat kewangan disediakan kepada peminjam sepertimana amalan ‘Key Fact Statement’, dengan izin di Singapura dan di Australia,” tegasnya.

Beliau juga mencadangkan penubuhan Lembaga Penilaian dan Pemantauan Bebas di bawah Parlimen untuk menilai prestasi SKP secara berkala bagi memastikan jaminan ketelusan walaupun Suruhanjaya diberi pelbagai kuasa di bawah fasal enam hingga lapan.

“Pemakluman berkala kepada parlimen setiap 6 bulan tentang senarai syarikat yang dilesenkan, kadar faedah yang dikenakan dan aduan rakyat, serta perlaporan senarai hitam atau ‘watch list’ ‘Ah Long’ yang berlesen.

“Wujudkan sistem senarai awam syarikat yang dikenakan tindakan sepertimana yang dilaksanakan oleh Consumer Financial Protection Bureau (CFBP) di Amerika Syarikat yang menyenaraikan syarikat peminjam yang melanggar peraturan.

“Kita juga melihat kesan-kesan buruk jika penggunaan kredit tidak dikawal sepertimana di Filipina, perlesenan syarikat Fintech yang menyebabkan lonjakkan aplikasi pinjaman mudah, lebih 2,000 aduan diterima dalam tahun 2023 akibat penyalahgunaan data dan ugutan dalam talian.

“Beberapa pengguna dibunuh kerana gagal bayar pinjaman walaupun pinjaman itu sangat kecil,” kata beliau.

Dalam soal prinsip pandangan Islam dan prinsip syariah pula, beliau menegaskan kepentingan semakan berkala oleh Majlis Penasihat Syariah terhadap semua produk kredit Islam agar selaras dengan prinsip syariah dan bukan semata-mata rujukan teknikal.

“Dalam surah al-Baqarah ayat 275, Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Cadangan saya bahawa fasal 80 hingga 83, kredit Islam perlu diperluaskan, wajibkan semakan Majlis Penasihat Syariah secara berkala dan tidak hanya rujukan teknikal,” kata beliau.

Ahmad Tarmizi turut menekankan realiti masyarakat luar bandar di mana semakin terdedah kepada penipuan kewangan digital, termasuk wanita desa dan anak muda yang menjadi mangsa pinjaman aplikasi dalam talian tanpa pemahaman terperinci.

“Saya melihat sendiri bagaimana wanita desa terpaksa meminjam daripada agensi pelaburan palsu melalui media sosial, malah ada anak muda menjadi penjamin sosial tanpa sedar dan dipaksa membayar hutang orang lain,” katanya.

Beliau juga memberi beberapa saranan utama dengan meminta supaya dimasukkan kadar faedah maksimum dalam undang-undang, mewujudkan mekanisme pemantauan bebas, mewajibkan pendidikan kewangan kepada peminjam.

“Serta mengenakan hukuman berat kepada pemberi kredit berlesen yang menyalahgunakan lesen, termasuk pelucutan lesen seumur hidup.

“RUU ini perlu diperkemaskan dan dimantapkan lagi supaya rakyat tidak terus diperas hutang. Mereka perlu dibela, bukan dibiarkan,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -