BNPL: Pengguna diperangkap dalam lingkaran hutang

Radzi Jidin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) yang bakal ditubuhkan perlu memainkan peranan penting dalam mengawal selia perkhidmatan ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL) yang semakin berkembang pesat.

- Advertisement -

Datuk Dr Mohd Radzi Jidin (PN–Putrajaya) berkata, jumlah transaksi BNPL bagi separuh pertama tahun 2025 mencatatkan peningkatan kepada RM9.3 bilion berbanding RM4.9 bilion tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 90 peratus.

“Data-data ini terutamanya data nilai transaksi data menunjukkan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi di antara tahun 2024 dan 2025 iaitu sebanyak 90 peratus, berbanding pertumbuhan sebanyak 81 peratus di antara tahun 2023 dan 2024.

“Selain itu, sekitar 90 peratus mereka yang menggunakan perkhidmatan ‘Buy Now Pay Later’ ini berumur antara 21 hingga 45 tahun. Ini menunjukkan golongan dewasa dan pertengahan umur merupakan kumpulan yang terbesar.

“73 peratus daripada yang menggunakan perkhidmatan ini adalah mereka yang berpendapatan RM5,000 ke bawah,” katanya dalam Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Tambah beliau, Fasal 7 RUU berkenaan memperuntukkan bahawa antara fungsi suruhanjaya berkenaan ialah untuk menggalakkan perkembangan industri kredit pengguna termasuk perkhidmatan BNPL itu sendiri.

“Maknanya apa? Kerajaan sendiri ingin melihat bahawa industri kredit pengguna ini terus berkembang. Mengambil kira semua data-data ini dan maklumat yang saya kongsikan, industri kredit pengguna ini akan berkembang dengan begitu pesat dalam tempoh yang mendatang,” ujarnya.

Justeru, beliau meminta penjelasan daripada pihak kerajaan sama ada SKP mempunyai kuasa untuk mengawal atau menghadkan caj-caj yang dikenakan, termasuk caj lewat bayar dan caj tersembunyi yang lain.

“Adakah kerajaan akan menetapkan satu standard pengukuran kemampuan pengguna? Saya khuatir sekiranya tidak ada satu standard pengukuran kemampuan pengguna, apa yang berlaku dalam konteks persaingan dalam banyak-banyak syarikat ini.

“Maka masing-masing akan merendahkan standard kemampuan pengguna ini dan memberikan hutang yang seterusnya akan memberikan kesan kepada pengguna yang terperangkap dalam satu lingkaran dan juga satu lingkungan hutang yang semakin lama semakin membesar,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -