Pesta gay sebagai konspirasi burukkan Kerajaan Kelantan?

Abdul Aziz Yunos
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan menyeluruh sehingga ke akar umbi berhubung penganjuran satu pesta gay yang dilaporkan berlaku di Kelantan, termasuk mengenal pasti pihak merancang dan terlibat membenarkan aktiviti songsang itu.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Negeri Johor, Abdul Aziz Yunos berkata, siasatan secara telus perlu dilakukan kerana wujud persoalan besar terhadap motif sebenar di sebalik penganjuran program tidak bermoral itu di negeri yang dikenali dengan jolokan Serambi Makkah.

“Kita semua maklum bahawa kerajaan dan masyarakat Kelantan amat mengambil berat soal peradaban serta gaya hidup yang bermaruah. Budaya masyarakatnya juga terjaga dan berpegang kuat kepada nilai moral Islam.

“Tiba-tiba timbul pula dakwaan berlakunya pesta tidak bermoral yang tidak pernah diperakui masyarakat setempat. Perkara ini sangat meragukan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Pada pertengahan Jun lalu, Polis Kelantan mengesahkan telah menyerbu satu program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melibatkan lebih 20 lelaki tempatan di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin, Pengkalan Chepa.

Abdul Aziz turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas tindakan pantas menggempur kegiatan itu, namun kesal apabila dimaklumkan bahawa kesemua individu yang ditahan bukan anak jati Kelantan.

“Ini menimbulkan persoalan besar. Apakah ini satu konspirasi jahat yang dirancang untuk memburukkan nama baik Kerajaan Kelantan yang sekian lama membawa agenda ‘Membangun Bersama Islam’?

“Adakah ini usaha terancang pihak tertentu yang mahu mencemarkan imej negeri yang berusaha ke arah pembentukan ‘Baldatun Toyyibatun waRabbun Ghafur’?” soalnya.

Justeru beliau menyeru pihak berkuasa menjalankan siasatan mendalam dan menyeluruh terhadap pihak yang terlibat secara langsung atau tidak dalam usaha membawa budaya songsang ke Kelantan.

“Kita mahu pihak yang bersalah dibawa ke muka pengadilan dan tidak membiarkan negeri ini dijadikan medan untuk merosakkan nilai dan akhlak masyarakat,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -