76% rakyat tak mampu tampung belanja kecemasan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 76 peratus rakyat dewasa di Malaysia tidak mampu menampung perbelanjaan kecemasan berjumlah RM1,000 menurut kajian Bank Negara Malaysia (BNM), sekali gus mencerminkan realiti kewangan isi rumah yang semakin rapuh.

- Advertisement -

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, situasi itu diburukkan lagi dengan kadar hutang isi rumah yang kini mencecah 82.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara yang tertinggi di Asia Tenggara.

“Ini menunjukkan rupa wajah sebenar ekonomi di bawah Madani, di mana bank lebih banyak membiayai hutang peribadi berbanding ekonomi sebenar.

“Hampir 70 peratus pinjaman bank disalurkan kepada sektor pengguna seperti pinjaman peribadi, kad kredit dan beli sekarang bayar kemudian (BNPL), bukannya kepada industri produktif,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu menuntut pemantauan bukan sahaja ke atas entiti peminjam baharu, tetapi juga terhadap institusi perbankan sedia ada yang mencatatkan keuntungan luar biasa setiap tahun.

“Keuntungan sektor perbankan mencecah RM44 bilion setahun. Bank tak pernah rugi, tapi yang rugi dan koyak adalah rakyat.

“Maka tidak hairanlah skim BNPL tumbuh seperti cendawan selepas hujan yang menawarkan kemudahan segera tanpa slip gaji, namun inilah formula kepada kegagalan negara jika tidak dibendung secara sistemik,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -