Kredit Pengguna harus pastikan rakyat dilindungi

Abdul Latif Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ekosistem kredit bukan bank berkembang pesat serta amalan ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) yang tidak seragam dikenal pasti sebagai punca utama peningkatan hutang dalam kalangan pengguna muda.

- Advertisement -

Abdul Latif Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, walaupun Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna 2024 dilihat sebagai langkah penting, ia masih kabur dalam beberapa aspek utama termasuk had kos efektif dan mekanisme pencegahan komitmen berlebihan pengguna.

“Tanpa formula yang telus atau siling kadar efektif, matlamat melindungi pengguna mungkin hanya retorik,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna 2025, di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menurutnya, penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna dan pengiktirafan pelbagai badan pengawal selia seperti Regulatory and Supervisory Authorities (RSAs) dilihat menyeluruh, namun boleh menimbulkan risiko pertindihan bidang kuasa.

“RUU ini mewujudkan rejim selari di samping undang-undang sedia ada tanpa protokol keutamaan kuasa yang jelas. Pertikaian bidang kuasa boleh menamatkan penyelesaian aduan pengguna,” katanya.

Abdul Latif turut membangkitkan isu kos tadbir urus awal yang mungkin menghalang koperasi mikro menawarkan inovasi kredit bertanggungjawab.

Katanya, ia boleh menyebabkan pasaran dikuasai pemain besar yang berpotensi menekan daya saing harga dan menjejaskan pengguna biasa.

“Dari sudut pengguna dan perusahaan kecil RUU ini mengiktiraf mereka sebagai kredit konsumer di bawah had tertentu, namun tanpa kewajipan terang dan jelas.

“(Iaitu) untuk menyediakan modul literasi kewangan pra kelulusan kita bimbang usaha menangani hutang tak berdaya bayar hanya berlaku reaktif menerusi kaunseling selepas terperangkap bukan preventif,” katanya.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap ketiadaan garis panduan perilaku pemberi BNPL sebelum perkhidmatan ditawarkan boleh mengakibatkan kegagalan mengekang hutang berganda walaupun rangka undang-undang diwujudkan.

Menyentuh aspek kutipan semula hutang, Abdul Latif berkata, RUU tidak menetapkan piawaian terperinci berkaitan tempoh masa, bentuk larangan intervensi halus serta hukuman progresif terhadap pelanggaran berulang.

“Kita bimbang normalisasi tekanan psikologi ke atas peminjam yang sedang rapuh ekonomi. Media dan pakar telah menekankan risiko amalan tidak adil dalam ketiadaan rangka kerangka menyeluruh tetapi kerangka itu mestilah spesifik bukan sekadar prinsip umum.

“Ini belum lagi dibincangkan berkaitan dengan amalan penipuan dan riba dalam sistem kredit pengguna dari perspektif maqasid syariah. Kita wajib memastikan perlindungan harta dan menutup jalan kezaliman hutang.

“Al-Quran memberi amaran tegas terhadap perniagaan yang menindas antaranya ayat dalam surah An-Nisa bermaksud janganlah kamu saling memakan harta sama kamu dengan cara yang batil.

“Tanpa bidaan substantif kita mungkin meluluskan rang undang-undang yang kelihatan kukuh di atas kertas, tetapi kurang berkesan dalam menangani hutang tidak mapan kos kredit tinggi dan perlindungan data pengguna sementara masyarakat berpendapatan rendah terus terhimpit inflasi dan kewangan digital baru.

“Adakah Surahanjaya mempunyai peruntukan undang-undang penetapan had kredit kepada pengguna berdasarkan kelayakan dan prestasi kredit yang dilaporkan menjadi salah satu punca kepada perangkap hutang yang dialami oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini hutang BNPL dilaporkan mencecah RM2.8 bilion menyumbang kepada 0.2 peratus hutang isi rumah negara.

“Adakah akta ini memperuntukkan keperluan mandatori kepada pemberi kredit untuk mempunyai indikator tahap pengukuran kemampuan pengguna yang jelas?

“Ataupun indikator ini seharusnya tidak memberi implikasi kos kepada pengguna kredit dan menyeluruh sebelum ditawarkan servis BNPL kepada pengguna?” soalnya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -