Pemuda Pahang ambil inspirasi dari PAS Terengganu

Andansura (tengah) pada sidang media Sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Pahang Kali Ke-43 program di Cendana Hall, Seri Manja Boutique Hotel Indera Mahkota,
- Advertisement -

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang perlu mengambil inspirasi daripada kejayaan Dewan Pemuda PAS Terengganu dalam menarik sokongan anak muda kepada perjuangan parti, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu.

- Advertisement -

Menurutnya, kunjungan Ketua Pemuda PAS Terengganu bersama rombongan ke Muktamar Pemuda PAS Pahang ini merupakan satu detik bersejarah dan simbolik kepada permulaan kolaborasi lebih tersusun antara kedua-dua pihak.

“Kehadiran Ketua Pemuda Terengganu bersama rombongannya ini adalah satu sejarah penting buat Pemuda PAS Pahang. Kita sedang bergerak dari satu tahap ke tahap yang lebih baik.

“Sudah tiba masanya untuk kita berkolaborasi secara berstrategi kerana semuanya adalah atas tujuan untuk beri manfaat kepada rakyat,” katanya mengulas mengenai kerjasama antara kedua-dua Dewan Pemuda Negeri itu.

Mereka berkolaborasi menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Pahang Kali Ke-43 di Cendana Hall, Seri Manja Boutique Hotel Indera Mahkota, di sini semalam.

Andansura berkata, kejayaan Pemuda PAS Terengganu dalam mendekati golongan muda perlu dijadikan contoh bagi memperkukuh gerak kerja di Pahang.

“Kita perlu belajar daripada apa yang telah dilalui oleh mereka yang berjaya sebelum ini, sebab itu Terengganu kita lihat mereka ada kekuatan dari segi pemuda. Mereka tak takut dengan PAS. Berani keluar, berani bersama dan menyokong PAS.

“Maka kita akan belajar bagaimana kita nak bawa anak-anak muda Pahang ni suka sama PAS juga, kita harap anak-anak muda Pahang ini beri peluang kepada PAS bersama dengan pemuda PAS kerana kita ada kebolehan dan keupayaan,” katanya.

Tambah beliau, keupayaan dan kemahiran yang dimiliki oleh jentera pemuda perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam mengurus dan mentadbir negeri ke arah lebih baik.

“Hari ini kita buktikan bahawa kita memiliki tenaga, pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang cukup untuk mentadbir negeri Pahang.

“Jadi kita harap anak muda di Pahang ini supaya mereka dapat menilai PAS ini dari sudut yang lebih rasional, realistik, bukan emosi yang dimainkan dengan sentimen dan sebagainya.

“Mereka perlu lihat fakta, perlu bergerak dan perlu bersama dengan kami sebagai orang kata memahami lebih lebih baik tentang hala tuju PAS itu sendiri,” katanya.

Menurut Andansura, golongan muda kini mewakili lebih 52 peratus pengundi dan menjadi kumpulan penentu masa depan politik negeri.

“Pemuda akan menjadi teraju utama dalam merealisasikan agenda ‘Teraju Pahang’. Kita mahu mereka menjadi tonggak gerak kerja dan perubahan di negeri ini,” ujarnya.

Mengulas perbandingan antara PAS Pahang dan Terengganu, beliau berkata, tiada isu perbezaan taraf, sebaliknya yang membezakan hanyalah strategi dan tahap penerimaan masyarakat setempat.

“Semuanya setaraf, yang membezakan hanyalah pendekatan serta kefahaman terhadap perjuangan PAS. Terengganu berjaya mendekati anak muda dengan cara tersendiri.

“Kita mahu gunakan kaedah sama untuk menarik minat generasi muda di Pahang yang lazimnya tidak gemar dikongkong oleh ideologi kepartian,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -