Tidak hadir bukan bermaksud tolak kerjasama

- Advertisement -

KAPAR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menegaskan bahawa tiada isu besar timbul berhubung ketidakhadiran pimpinan utama PAS dalam satu pertemuan antara parti pembangkang yang dipengerusikan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, apa yang dibincangkan pada peringkat awal itu hanya pertemuan awal dan akan diperhalusi kemudian dalam kalangan kepimpinan tertinggi PN.

“Sebenarnya tiada isu pun sebab apa yang telah pun dimaklumkan oleh Muhyiddin Yassin bahawa kita akan bawa kepada Majlis Tertinggi PN untuk kita bincang.

“Ini bermakna segala apa yang dibincangkan di peringkat awal itu sebagai pra kepada perbincangan yang akan dibincangkan semula di kalangan pimpinan PN,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Selangor Kali Ke-59 di Dewan Mawar Biru Duo, Jalan Meru, di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan bahawa ketidakhadiran Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu pertemuan pembangkang adalah disebabkan komitmen awal yang telah dijadualkan di Kedah.

“Majlis itu sebenarnya pertemuan antara Presiden-presiden parti. Tuan Guru Presiden kebetulan ada program di Kedah yang sebelum itu dan program yang telahpun disusun lebih awal sebab notis agak lewat sikit.

“Oleh kerana kita melihat ada keperluan di kalangan rakan-rakan pembangkang untuk kita adakan pertemuan. Bagi saya kita positif, tak ada pertemuan-pertemuan tersebut dan saya jelaskan tadi mana-mana pihak nak mendukung bersama kita, kita alu-alukan.

“Jadi kita perlu memahami situasi yang ada dan bagi PAS khususnya kita akan perhalusi dalam Majlis Tertinggi nanti,” katanya yang juga Ketua Pembangkan Dewan Negeri Pahang.

Beliau turut menjelaskan bahawa ketidakhadiran beliau dalam pertemuan pembangkang baru-baru ini adalah disebabkan oleh komitmen rasmi yang telah dijadualkan lebih awal di beberapa negeri, termasuk di Terengganu.

“Jadi kebetulan saya sendiri pun tak boleh hadir sebab ada perasmian muktamar di Terengganu sebenarnya. Oleh kerana itu banyaklah yang sebelum di Terengganu saya ada program rasmi yang telah saya terima lebih awal.

“Perkara ini sebenarnya telah pun dimaklumkan bahawa kita tak dapat hadir tapi insya-Allah akan dibicara nanti,” katanya.

Mengulas mengenai Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan pada 26 Julai ini, Tuan Ibrahim menyifatkan sambutan akar umbi sangat memberangsangkan.

“Kebetulan saya banyak program di banyak negeri dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan saya nak jelaskan respons sangat positif di bawah,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa di beberapa lokasi seperti Kelantan dan Pahang, peserta terpaksa menyewa bas dari luar kawasan selepas pengangkutan sedia ada habis ditempah awal.

“Ini semangat mereka, masing-masing bayar bas tersebut dan Insya-Allah respons di bawah sangat positif dan kita harapkan dan pastikan bahawa peserta datang ikut peraturan dan tidak membawa senjata,” katanya.

Beliau meminta agar peserta dapat mengelakkan daripada terlibat dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi semasa himpunan itu.

Beliau turut memaklumkan bahawa lokasi berkumpul telah ditetapkan lebih awal bagi memastikan kelancaran pergerakan peserta.

“Kita berhimpun dan memastikan titik berkumpul yang telah ditentukan, supaya pada jam 2 petang kita boleh bergerak daripada semua ‘sudut’ tadi dan berhimpun di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Kita jamin sebagaimana himpunan kita sebelum ini bahawa peserta akan mematuhi peraturan dan sebagainya. Cuma kita kena memahami bahawa kegawatan, ketakutan, pihak khususnya Anwar ini makin hari makin kuat nampaknya.

“Saya bimbang takut beliau turun sebelum 26 Julai. Apa yang penting pada kita pastikan kita hadir bersama, berhimpun dan bertemu nanti Insya-Allah pada 26 Julai,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -