ECRL: Kelantan manfaatkan tingkat ekonomi rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan akan memanfaatkan sepenuhnya jajaran Rel Laluan Pantai Timur (ECRL) melalui dua inisiatif iaitu pembangunan berorientasikan kargo dan juga pembangunan berasaskan pengangkutan awam.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri telah merangka pelan perancangan strategik bagi memastikan pembangunan tersebut dapat dinikmati rakyat.

“Kita nak pastikan pembangunan sekitar jajaran ECRL dapat dimanfaatkan sepenuhnya khususnya dalam sektor perkilangan dan pembuatan berpotensi melonjakan ekonomi yang menjadi perancangan utama.

“Pertama pembangunan berasaskan ‘cargo oriented development’ di stesen ECRL Pasir Puteh dan pembangunan berasaskan ‘transit oriented development’ di stesen dekat kawasan Tunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawaban lisan sempena Persidangan Kali Kedua bagi Penggal Yang Ketiga Dewan Negeri Kelantan (DUN) Yang Ke 15 di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Terdahulu Mohamed Fadzli (PN-Temangan) menjawab soalan dikemukakan Mohd Adanan Hassan (PN-Kelaboran) mengenai perancangan dilakukan untuk pastikan pembangunan sekitar ECRL dapat meningkatkan ekonomi.

Stesen ECRL Pasir Puteh yang dibina berhampiran Pengkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) itu berfungsi sebagai stesen penumpang dan juga stesen kargo, mampu menarik bukan sahaja pelabur swasta dalam dan luar negara.

Bahkan Mohamaed Fadzli berkata lagi, langkah tersebut turut menjadi pemangkin terhadap rantaian ekonomi hiliran termasuk sektor perkhidmatan, pengangkutan, pembungkusan barangan dan pembekalan bahan mentah.

Beliau berkata antara pembangunan kemudahan bakal dilakukan seperti gudang, pusat pengedaran dan perkilangan yang akan menjadi tarikan pelabur swasta selain menjana peluang pekerjaan penduduk.

Mengenai ‘transit oriented development’ kata beliau, pendekatan pembangunan yang menggabungkan antara sistem pengangkutan awam dengan kawasan pembangunan bercampur dalam kawasan Bandar Baharu Tunjung.

“Pembangunan ini mengintegrasikan sistem pengangkutan awam dengan kawasan pembangunan bercampur seperti kawasan kediaman moden, kawasan komersial dan juga kawasan perniagaan, institusi pendidikan dan sebagainya.

“Pembangunan ini dilihat boleh menghidupkan tunjung sebagai satu perbandaran baharu yang mewujudkan satu ekosistem ekonomi yang seimbang antara mobiliti, peluang pekerjaan dan juga kualiti hidup,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -