
KUALA LUMPUR: Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mencadangkan agar Majlis Penasihat Syariah diberikan peranan lebih aktif dan berwibawa dalam memastikan kepatuhan syariah semua pemberi kredit Islam termasuk penyedia perkhidmatan kewangan baharu seperti ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL).
Beliau berkata, fasal 81(1) dan 81(2) dalam RUU berkenaan menetapkan secara jelas kewajipan semua pemberi kredit Islam untuk memastikan aktiviti perniagaan mereka mematuhi prinsip syariah pada setiap masa, termasuk mendapat nasihat Majlis Penasihat Syariah bagi sebarang urusan yang memerlukan penentuan hukum syarak.
“Dalam era digital yang pesat berkembang, pelbagai model baharu perkhidmatan kewangan muncul. Sehingga kini, sebanyak 12 syarikat BNPL beroperasi di Malaysia dan sebahagiannya telah mendapat pengiktirafan patuh syariah.
“Oleh itu, saya berpandangan Majlis Penasihat Syariah perlu bukan sahaja menjadi rujukan teknikal, malah meletakkan piawaian asas pematuhan syariah yang wajib dipatuhi oleh semua pemberi kredit Islam termasuk perkhidmatan kewangan baharu,” ujarnya.
Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Rang Undang-undang Kredit Pengguna 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menegaskan langkah itu penting untuk memastikan integriti sistem kewangan Islam negara sentiasa terpelihara dan tidak dicemari amalan kewangan menyimpang yang berselindung di sebalik label Islamik.
“Langkah ini juga secara langsung akan melindungi pengguna Muslim daripada terjerumus dalam amalan riba, ‘gharar’ dan transaksi tidak patuh syariah yang bukan sahaja memberi kesan kewangan, malah membawa implikasi sosial dan agama yang serius,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025











