Akhir zaman: Bila musuh jadi penasihat

- Advertisement -

HARI ini, ramai di kalangan umat Islam menyerahkan kepercayaan dan rahsia kepada mereka yang jelas bermusuh dengan Islam.

Mereka dirujuk dalam hal sistem pendidikan, ekonomi, perundangan, cara hidup bahkan untuk mendapatkan bantuan!

Mereka dijadikan penasihat, pakar, rakan kongsi dan ‘role model’ seolah-olah mereka lebih tahu mengenai masa depan umat daripada al-Quran itu sendiri. Asy-Syahid Sayyid Qutb dalam tafsirnya menyebutkan:

- Advertisement -

المسلمون في غفلة عن أمر ربهم

“Umat Islam berada dalam kelalaian terhadap perintah Tuhan mereka…”

Kita lupa amaran Tuhan:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا ۚ وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ …

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu…” (Surah Ali ‘Imran ayat 118)

Senyum di depan kita, tapi gigit jari di belakang

Inilah gambaran yang al-Quran lukis dengan penuh ketepatan mengenai musuh-musuh umat Islam, sejak zaman Nabi SAW hingga hari ini:

قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ

“Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi.”  (Surah Ali ‘Imran ayat 118)

Mereka tampil dengan wajah mesra, senyum manis, bersalaman dan berbicara seolah-olah ikhlas mahu membantu.

Tetapi di balik senyuman itu, tersimpan dendam yang membara dan perancangan yang licik untuk merosakkan umat Islam, secara fizikal, akidah dan arah tuju:

وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوْا۟ عَضُّوا۟ عَلَيْكُمُ ٱلْأَنَامِلَ مِنَ ٱلْغَيْظِ ۚ قُلْ مُوتُوا۟ بِغَيْظِكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ

“Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.” (Surah Ali ‘Imran ayat 119)

Realiti hari ini: Kita sedang mengulangi kesilapan

Penjajahan mungkin sudah berakhir secara fizikal, tapi penjajahan pemikiran dan kebergantungan kepada musuh Islam masih berjalan.

Kita meniru sistem mereka, mencari ‘pakar’ mereka, dan menjadikan mereka rujukan utama dalam mengurus umat ini. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

«لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ، شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ» قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قَالَ: «فَمَنْ»

“Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu adalah Yahudi dan Nashrani?” Beliau menjawab, “Lantas siapa lagi?” (Hadis Riwayat Imam Muslim: 2669)

Apa yang berlaku di zaman Nabi SAW bukan sekadar sejarah silam di Madinah, tetapi merupakan gambaran kekal yang terus berulang dalam setiap zaman dan di setiap penjuru dunia.

Musuh-musuh Islam tidak pernah berubah. Mereka tampil dengan wajah mesra dan kata-kata manis, namun menyimpan niat jahat untuk merosakkan umat dari dalam.

Malangnya, umat Islam sering terpedaya, lalu menyerahkan kepercayaan, kuasa dan rahsia kepada golongan yang sebenarnya sedang menanti peluang untuk menikam dari belakang.

Inilah realiti pahit yang masih berlaku hingga hari ini. Sayyid Qutb telah menulis dengan pedih:

يتخذون من أمثال هؤلاء مرجعا في كل أمر، وكل شأن، وكل موضع، وكل نظام، وكل تصور، وكل منهج، وكل طريق!

“Umat Islam menjadikan orang-orang seperti ini rujukan dalam setiap urusan, sistem, pemikiran, jalan dan arah!”

Apa penyelesaiannya?

Al-Quran tidak hanya memberi amaran, tetapi memberi jalan keluar:

وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا ۗ إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ

“Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.” (Surah Ali ‘Imran ayat 120)

Sabar, iaitu kita jangan mudah tergoda dengan tawaran dan pujian musuh.

Taqwa, iaitu kembalikan kepercayaan diri kita sepenuhnya kepada panduan wahyu, bukan kepada ideologi asing.

Bangkit atau terus dipijak

Selagi umat Islam terus lalai dan menaruh kepercayaan kepada musuh, selagi itulah kita akan dipijak, dihina dan kekal lemah.

Umat ini mesti sedar bahawa permusuhan halus terhadap Islam tidak pernah berhenti. Ia hanya berubah rupa dan pendekatan.

Kembalilah kepada peringatan Tuhan. Jangan menjadi umat yang hanya membaca al-Quran tanpa menghayati amaran yang terkandung di dalamnya.

Sudah tiba masanya untuk kita bangkit membina jati diri Islam dengan menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama, bukannya bergantung kepada sistem asing yang menentang agama dan merosakkan umat dari dalam.

ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN – HARAKAHDAILY 19/7/2025

Rujukan:

في ظلال القرآن لسيد قطب – تفسير سورة آل عمران – الآية 118
https://quran-tafsir.net/qotb/sura3-aya118.html#p3 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -