
KUALA LUMPUR: Kegiatan maksiat dan budaya songsang semakin berani menzahirkan diri dalam masyarakat, termasuk insiden perjumpaan kumpulan gay yang digagalkan oleh pihak polis di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, jenayah seperti ini amat membimbangkan dan boleh menjalar dengan lebih parah jika tidak dibanteras segera.
“Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan atas tindakan pantas membanteras kegiatan ini.
“Ia membuktikan peranan penting pihak berkuasa dalam menjaga maruah agama dan akhlak masyarakat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Khamis.
Beliau berkata, budaya songsang ini mungkin telah lama tersembunyi, namun kini semakin berani menzahirkan diri.
“Justeru, semua pihak termasuk masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan institusi pendidikan mesti bekerjasama mencegah penyimpangan ini dari akar umbi,” katanya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat ke-32 maksudnya: “Dan janganlah kamu dekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
Dalam pada itu, beliau turut menyokong usaha Kerajaan Negeri Kelantan memperkukuh Enakmen Jenayah Syariah dan penubuhan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial.
“Semoga langkah ini menjadi contoh dalam menjaga akidah dan menyelamatkan generasi akan datang dari kehancuran moral,” katanya.
Terdahulu, Polis Kelantan pada Khamis memaklumkan pihaknya menyerbu satu perjumpaan gay yang melibatkan lebih 100 lelaki berusia antara 20 hingga 30-an di sebuah banglo di Kemumin, Kota Bharu, Kelantan pada pertengahan Jun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan dilakukan pada jam 1 pagi hasil maklumat awam dan intipan yang dilakukan oleh pasukan khas. – HARAKAHDAILY 18/7/2025











