‘Kalau sayang negara, bantulah turunkan PMX’

Rakyat bosan, Anwar gagal tepati janji reformasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir menyifatkan gesaan supaya rakyat membantu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) sebagai langkah terdesak yang membuktikan semakin ramai rakyat mula bangkit menolak kepimpinannya.

- Advertisement -

Beliau merujuk artikel bertajuk ‘Kalau sayang, bantulah PMX’ tulisan Prof Wong Chin Huat di sebuah portal berita, yang menurutnya muncul ketika rakyat sedang merancang untuk berhimpun secara besar-besaran pada 26 Julai ini di Dataran Merdeka sebagai tanda protes dan kekecewaan terhadap PMX.

“Terbitnya artikel ini membuktikan gelombang kebangkitan rakyat yang mahu dilonjakkan oleh parti-parti politik, NGO dan NGI menjelang 26 Julai semakin difahami dan diterima rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya hari ini.

Menurut Roslan, rakyat hari ini berkongsi kekecewaan yang sama terhadap kerajaan pimpinan Anwar kerana gagal menunaikan pelbagai janji ketika berkempen dahulu, malah kini terpaksa berdepan tekanan kos sara hidup semakin menyeksa.

“Perjuangan reformasi Anwar dahulu yang mengajak rakyat turun ke jalanan kononnya untuk membuat perubahan besar-besaran terhadap institusi pentadbiran negara.

“(Ia termasuk) mengembalikan hak asasi rakyat dan keadilan sosial selain menjamin kehidupan yang lebih sejahtera buat semua, hari ini dilihat sia-sia dan bohong belaka.

“Rupanya reformasi semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan dan membawa beliau naik berkuasa, itu sahaja. Setelah berkuasa bukannya reformasi dilaksana tetapi diulangi segala ketempangan dan kepincangan yang lampau,” tempelaknya.

Tambah beliau, segala yang ditentang Anwar sebelum berkuasa seperti krisis kehakiman, rasuah, kronisme dan nepotisme kini berulang kembali apabila beliau memegang tampuk pemerintahan.

“Penyamun dan perasuah dulu dinista sekarang dipuja dan diberi tempat, GST yang kononnya mencetuskan ketidakpuasan hati rakyat dihapus dan diganti dengan SST yang rupanya lebih parah dan menyeksa.

“Kronisma dan nepotisma hari ini bukan lagi ditentang tetapi diberi lampu hijau hinggakan parti sendiri menjadi parti anak-beranak.

“Kehidupan rakyat yang dibebani pelbagai kos dahulu, dijanjikan akan lebih baik, akan turunkan harga minyak, tarif elektrik, hapuskan tol PTPTN dan berbagai, hari ini sebaliknya yang berlaku,” kesalnya.

Roslan turut mempersoalkan keikhlasan seruan Wong yang meminta rakyat beri peluang kepada Anwar, sedangkan janji dahulu tidak pula disebut perlu masa untuk ditunaikan.

“Kononnya beri peluang pada beliau, reformasi ini perlukan masa, anehnya masa berjanji dahulu tidak pula dinyatakan memerlukan masa, pasti rakyat masih ingat – ‘Hari ini menang …..’.

“Kata Wong, kalau sayangkan PMX maka bantulah PMX menegakkan semula janji reformasinya. Reformasi tidak semestinya perlukan PMX tetapi PMX pasti memerlukan reformasi,” ulasnya.

Roslan Shahir berkata, rakyat kini sudah hilang keyakinan dan tidak mahu terus dibohongi, oleh itu biarlah Wong seorang yang sayangkan Anwar, kerana rakyat hari ini sudah bosan dan putus-asa.

“Dahulu beliau ajak rakyat ke jalanan kerana turut mendakwa kerajaan ketika itu kuku besi, memerintah cara ‘Police State’, mengamalkan ‘pendakwaan berpilih’.

“Hari ini rakyat lihat beliau seakan mengata dulang paku serpih, rakyat jangan dipandang rendah dan dibudak-budakkan,” tegasnya.

Roslan turut menyatakan komitmen untuk menjayakan himpunan raksasa pada 26 Julai ini yang disifatkannya sebagai suara sebenar rakyat menuntut perubahan kepimpinan negara.

“Penilaian terhadap Anwar yang sesungguhnya gagal sebagai Perdana Menteri dan perlu turun segera.

“Jangan lagi rakyat dibohongi, ditekan. Ingat, suara rakyat dahulu suara keramat, hari ini pun kekal suara keramat. Jumpa anda nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2025

- Advertisement -