Pemuda Kelantan sokong usaha polis banteras dadah

Mohamad Kamal Mohamed
- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed menegaskan sokongan penuh terhadap tindakan pihak polis dalam memerangi gejala dadah di negeri itu.

- Advertisement -

Beliau berkata, kuasa untuk melakukan tangkapan dan tindakan penguatkuasaan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa pihak polis.

“Pihak kerajaan negeri hanya boleh membuat kempen kesedaran dan nasihat melalui program yang telah dan sedang dijalankan.

“Oleh kerana itu amat penting agar kuasa yang dimiliki oleh pihak polis digunakan sepenuhnya dalam menangani isu dadah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut menyindir sikap Umno Kelantan yang cuba menjadi ‘hero’ dalam isu dadah dengan menyalahkan kerajaan negeri, sedangkan mereka sendiri pernah berada dalam posisi berkuasa.

“Hari ini Umno Kelantan seolah-olah mahu menjadi hero dalam bab dadah dan mempersoal tindakan Kerajaan Kelantan. Kamu lupa kuasa yang kamu dapat dahulu? Kamu kena desak kerajaan yang kamu duduk bersama sekarang.

“Nak jadi hero jangan guna kesempatan atas masalah orang lain, jadilah hero yang asli bukan hero ber’time’,” katanya.

Mohamad Kamal turut merakamkan penghargaan kepada Polis Kelantan, khususnya Ketua Polis Negeri, atas tindakan berani dan konsisten dalam menangani jenayah dadah.

“Tahniah pihak Polis Kelantan terutama Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat atas tindakan yang berani. Rakyat Kelantan akan bersatu dalam isu pembasmian dadah. Teruskan usaha dan doa dari semua rakyat,” katanya.

Terdahulu, polis Kelantan melancarkan beberapa operasi berimpak tinggi, termasuk Ops Taring Wawasan yang membawa kepada penangkapan besar-besaran dan rampasan dadah berskala besar seperti daun ketum, syabu serta pil ekstasi.

Beberapa serbuan turut mendedahkan cubaan menyeludup dadah merentasi sempadan Malaysia-Thailand dengan kaedah penyeludupan kreatif termasuk menyembunyikan dadah dalam daging sejuk beku dan kandang haiwan ternakan. – HARAKAHDAILY 18/7/2025

- Advertisement -