Pahang pelaburan tinggi, isu asas rakyat tak selesai

- Advertisement -

KUANTAN: Sokongan rakyat terhadap PAS dan Perikatan Nasional (PN) di negeri Pahang semakin kukuh dan tersusun, sekali gus menjadi petunjuk jelas perubahan landskap politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata peningkatan sokongan itu dapat dilihat menerusi kehadiran memberangsangkan dalam pelbagai program akar umbi serta disokong oleh dapatan kajian bebas dan pemerhatian di lapangan.

“Rakyat kini semakin menolak penjelasan dan retorik daripada kerajaan dalam pelbagai isu. Golongan muda, penjawat awam dan masyarakat luar bandar dilihat semakin kecewa dengan prestasi Kerajaan Campuran Umno-PH di Pahang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, walaupun kerajaan negeri mengumumkan pencapaian pelaburan tertinggi di Pantai Timur, namun isu asas seperti kos sara hidup, tekanan ekonomi, peluang pekerjaan dan bekalan air masih gagal ditangani.

“Sepatutnya pelaburan tinggi membawa manfaat kepada rakyat. Namun, realitinya rakyat Pahang masih berdepan pelbagai tekanan hidup dan merasa terpinggir,” katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka.

Menurut beliau lagi, rakyat juga mula sedar bahawa janji reformasi dicanang Kerajaan Madani dilihat semakin hambar apabila dasar yang digubal hanya bersifat populis dan tidak menyelesaikan masalah secara menyeluruh.

Tambah beliau, ‘PAS Teraju Pahang’ akan terus mendekati rakyat dengan pendekatan yang lebih jujur, menawarkan solusi Islamik dan dasar berorientasikan rakyat.

“Keupayaan jentera PAS di kawasan dan cawangan menggerakkan dakwah, kebajikan serta advokasi isu rakyat menjadi bukti kepada keyakinan pengundi terhadap PAS sebagai alternatif terbaik,” jelasnya.

Tuan Ibrahim turut menegaskan bahawa gelombang sokongan ini adalah petanda jelas rakyat Pahang mahukan kepimpinan yang berintegriti, cakna dan berani mempertahankan kebajikan rakyat selari dengan nilai-nilai Islam.

“‘PAS Teraju Pahang’ bukan sekadar menawarkan perubahan, tetapi membina harapan berpaksikan prinsip dan amanah,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2025

- Advertisement -